TIDAK mahu terlalu yakin, kapten Pahang, Jalaluddin Jaafar mahu rakan sepasukan lebih berhati-hati apabila bertemu kelab Liga Perdana, Sime Darby bagi mengisi slot ke saingan Piala Malaysia musim ini.
Menurut Jalaluddin, prestasi tidak konsisten dipersembahkan Pahang musim ini antara faktor utama yang perlu ditangani sebelum bertemu lawan yang turut dibarisi pemain pengalaman.
“Saya percaya peluang beraksi di Piala Malaysia tidak harus dilepaskan dan seharusnya semua pemain dapat meningkatkan prestasi serta motivasi selepas gagal kekal dalam kelompok 12 pasukan Liga Super.
“Biarpun Sime Darby sebuah pasukan kelab, saya percaya mereka turut sama mengidamkan hasrat untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia,” katanya semalam.
Pahang dan Sime Darby, masing-masing menduduki tangga ke-13 Liga Super dan kelima Liga Perdana akan berentap secara timbal balik bagi mengisi kekosongan Harimau Muda A yang akan ke Slovakia sebagai persediaan akhir kelayakan Olimpik 2012.
Kedua-dua pasukan akan bertemu di Kuala Lumpur pada 19 Julai ini sebelum beraksi di Kuantan, 22 Julai.
----- Harian Metro Online
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.