TOKYO: Media Jepun menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan pasukan kebangsaan meraih kemenangan apabila sekadar seri dengan pasukan di ranking lebih rendah Jordan pada perlawanan pembukaan Piala Asia, sekali gus mendesak Samurai Biru melakar strategi menyerang ketika berdepan lawan yang kuat bertahan.
Akhbar harian negara matahari terbit itu, Nikkan Sport Daily memetik “Zac Japan blunder” bermaksud “Zac kesilapan besar Jepun” sebagai tajuk utama dengan merujuk kepada jurulatih pasukan, Alberto Zaccheroni selepas juara tiga kali itu bangkit dari ketinggalan menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusi tandukan Maya Yoshida.
“Ia menjadi perlawanan sukar ketika berdepan pasukan lebih rendah dan Jepun bergelut dengan cuaca,” kata Nikkan.
Jepun memberi tekanan hebat terhadap Jordan pada perlawanan itu tetapi gagal merobek benteng lawan hinggalah beberapa saat sebelum wisel penamat ditiup.
“Ketika mensasarkan misi membawa pulang trofi sekali lagi, Jepun berdepan soalan sukar bagaimana mengatasi lawan yang gemar bertahan,” kata akhbar paling laris negara itu, Yomiuri Shimbun.
Jordan memperoleh jaringan dua minit sebelum babak pertama tamat dan terus bertahan di separuh masa kedua, satu senario yang mungkin diulang mereka untuk mara ke peringkat seterusnya dalam kejohanan ini, demikian menurut laporan media Jepun.
Akhbar Mainichi Shimbun berkata Jordan membentuk “tembok manusia” di depan gawang, menangkis setiap cubaan Jepun hinggalah di minit ke-92 perlawanan.
Beberapa media di Tokyo pula mengambil pendekatan positif dengan menyindir pasukan itu.
“Jepun seri bergantung pada sehelai rambut,” kata tajuk utama Tokyo Shimbun.
“Jika ditimbang dari segi kekuatan (antara Jepun dan Jordan), jawapannya bagaikan tewas dengan kehilangan dua mata kemenangan,” kata akhbar itu lagi.
“Perlawanan rasmi pertama Zaccheroni seri tanpa dijangka,” kata akhbar Sport Nippon mengenai jurulatih dari Itali yang menggantikan Takeshi Okada sebagai jurulatih Jepun selepas Samurai Biru melangkah ke saingan 16 terbaik Piala Dunia Afrika Selatan, Jun tahun lalu.
“Yoshida yang menyamakan kedudukan memberi riak tenang tanpa senyuman,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.