Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 1, 2011

Petanda bermula era baru (Sinar Harian Online)

KEJAYAAN skuad bimbingan K Rajagobal menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 menandakan permulaan era baru zaman kebangkitan pasukan bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa setelah sekian lama menyepi.

Seluruh rakyat Malaysia bergembira dengan kejayaan pasukan Harimau Malaya menamatkan penantian 14 tahun untuk mengecap nikmat bergelar sang juara sejak 1996 dan membawa mercu kegemilangan imej negara sebagai jaguh peringkat serantau.

Malah, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menganggap pencapaian yang diraih skuad bola sepak itu sebagai satu detik gemilang dalam sejarah bola sepak negara.

Kemenangan itu juga mewujudkan satu senario baru dalam arena bola sepak tempatan apabila semua peminat mula bercerita mengenai pencapaian ini berbanding keghairahan menyaksikan perlawanan Liga Perdana England (EPL) sebelum ini.

Buat pertama kalinya, nama pemain Malaysia begitu harum malah berupaya disebut dan diingati satu persatu oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira usia.

Jika direnung kembali prestasi pasukan bola sepak negara sepanjang tahun ini, banyak peningkatan yang ditonjolkan barisan muda negara.

Antaranya, mereka mencipta kejutan dengan menewaskan Korea Selatan 1-0 sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua negara. Kemudian layak ke pusingan kedua Sukan Asia sejak 1978.

Paling diingati apabila Malaysia menamatkan kemarau pingat emas 20 tahun lampau pada Sukan Sea di Laos, tahun lalu.

Barangkali, musim 2011 bakal menjadi satu titik permulaan era baru kepada anak buah Rajagobal agar terus mengekalkan momentum di arena antarabangsa.

Ayuh Harimau Malaya! Jangan leka dibuai mimpi. Perjuanganmu masih belum selesai dan ini hanyalah permulaan!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...