SERAMAI 20 pemain ditawar kontrak Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) akan kekal bersama The Red Warriors bagi menyahut cabaran musim depan.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua pemain terbabit disambung kontrak secara automatik mengikut Perkara 10 terma kontrak dan tidak perlu menandatangani kontrak baru.
Menurutnya, setakat ini semua pemain ditawarkan kontrak terbabit bersetuju kekal bersama Kelantan.
Selain itu, Annuar berkata, lima pemain digugurkan termasuk penjaga gol, Halim Napi, Che Hishamuddin Hassan dan Sarudy Aziz manakala dua lagi pemain masih belum diputuskan.
“Semua pemain yang ditawar kontrak bersetuju untuk kekal dan kami harap tiada lagi spekulasi mengenainya.
“Lima pemain yang tidak ditawarkan kontrak adalah mereka mendapat cap paling rendah dalam skuad serta jarang diturunkan dalam perlawanan sebelum ini,” katanya.
Annuar berkata, Kafa berasa merugikan sekiranya pemain kekal dalam skuad kerana mereka tidak dapat bermain dan menggalakkan mereka berhijrah ke pasukan lain samada bermain untuk Liga Super atau Premier.
Dalam perkembangan sama, Annuar berkata, KAFA juga mengambil lima hingga tujuh lagi pemain muda untuk digilap sebagai persediaan masa depan bola sepak Kelantan.
“Selain itu, kami akan memperkuatkan jentera tengah serta serangan untuk saingan merebut Piala Sumbangsih menentang Selangor di Stadium Shah Alam,” katanya selepas Majlis Santapan Malam bagi meraikan The Red Warriors sebagai juara Piala Malaysia bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, malam kelmarin.
Annuar juga menegaskan, B Satianathan kekal sebagai ketua jurulatih selepas kejayaannya membimbing pasukan hingga menjuarai Piala Malaysia, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.