Oleh Mohd Amin Jalil
SELEPAS menyekat penguasaan Johor FC pada perlawanan pertama di tempat lawan, Negeri Sembilan tidak rela reputasinya tercalar pada perlawanan timbal balik pusingan pertama saingan Piala FA, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.
Justeru jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan, mengingatkan pemain supaya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada cabaran itu dengan memastikan kelebihan beraksi di tempat sendiri tidak disia-siakan.
Katanya, selepas terikat 2-2 dalam perlawanan lalu, kemenangan ke atas Johor FC amat penting kerana ia menentukan hidup mati pasukan dalam saingan kalah mati itu dan kegagalan menyekat kemaraan lawan bakal menjejaskan reputasi selaku juara Piala Malaysia.
“Pemain harus sedar kedudukan pasukan ketika ini belum menjamin untuk melangkah ke pusingan seterusnya kecuali kemenangan malam esok (ini). Oleh itu mereka tiada pilihan kecuali memastikan kelebihan beraksi di halaman sendiri dimanfaatkan sepenuhnya," katanya semalam.
Jurulatih berpengalaman itu berkata, tidak banyak perubahan yang akan dilakukan dalam kesebelasan utama nanti kecuali barisan depan yang mungkin sekali lagi bersandarkan kepada gandingan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dan Mohd Firdaus Azizul.
“Perlawanan ini ibarat hidup mati pasukan dan setiap pemain harus memberikan sepenuh perhatian untuk memastikan langkah ke pusingan saingan berikutnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.