Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, April 1, 2013

Kelantan Azam Pertahan Rekod Tanpa Kalah, Kata Jurulatih


KOTA BAHARU, 1 April (Bernama) -- Kelantan berharap untuk mempertahankan rekod tanpa kalah apabila bertemu pasukan Vietnam, SHB Da Nang FC dalam perlawanan Kumpulan G Piala Persekutuan Bola Sepak Asia (Piala AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini esok.

Ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak berkata pasukan bimbingannya berazam meraih tiga mata daripada perlawanan itu walaupun ia mungkin tugas sukar kerana pasukan pelawat merupakan pasukan terbaik dalam liga di negara mereka.

"Saya percaya perlawanan pasti sengit kerana mereka merupakan pasukan terbaik di Vietnam. Penyerang utama mereka merupakan penjaring terbanyak dalam Liga Vietnam. Mereka juga dibarisi banyak pemain handal yang bermain dalam pasukan kebangsaan mereka.

"Mereka merupakan pasukan amat berpengalaman dan pemain telah bermain bersama-sama sejak beberapa tahun lamanya. Mereka tidak banyak berubah dalam beberapa tahun lepas," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

Kelantan, juara treble Liga-M musim lepas, telah beraksi dalam dua perlawanan dalam kejohanan Piala AFC, menang satu dan seri dalam satu lagi perlawanan manakala SHB Da Nang menang dalam dua perlawanan.

Bojan berkata beliau akan menurunkan kedua-dua pemain import, Dimitrios Pertratos dan Dickson Nwakaemi bagi perlawanan itu kerana prestasi kedua-dua pemain bertambah baik selepas bermain bersama-sama dalam beberapa perlawanan.

"Dickson membantu, Dimitrios melakukan jaringan, jadi saya harap mereka akan bermain seperti sebelum ini (dalam perlawanan ini)," katanya.

Ketua jurulatih SHB Da Nang, Le Huynh Duc berkata beliau akan menurunkan barisan terbaik untuk mencuba dan mengalahkan Kelantan di laman mereka sendiri untuk pulang dengan tiga mata dalam perlawanan pusingan kedua mereka.

"Tiga hari lepas kami beraksi dalam Liga Vietnam dan kini datang ke Malaysia. Semua orang letih tetapi kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk mengutip mata penuh daripada perlawanan.

"Kami telah membawa pasukan terbaik kami yang telah menang enam perlawanan dan satu seri dalam Liga Vietnam. Saya fikir prestasi pemain berada pada tahap terbaik dan saya akan cuba menurunkan semua pemain terbaik dalam perlawanan esok malam," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena