Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, November 14, 2012

Azman letak jawatan, Mat Yo dilepaskan

TIGA PIALA... (Dari kiri) Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Liga Super yang berjaya disapu bersih oleh Kelantan musim ini.


DESAS-DESUS mengatakan Azman Ibrahim akan berundur sebagai pengurus pasukan The Red Warriors pada musim depan akhirnya terjawab apabila beliau sendiri mengesahkan peletakan jawatannya itu.

Azman yang menjadi pengurus pasukan bola sepak Kelantan sejak 2005 berkata, ia masa yang tepat untuk beliau berundur selepas Kelantan berjaya menggondol kejayaan trebel dengan menyapu bersih ketiga-tiga piala dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini walaupun Kelantan pada suatu ketika dahulu pernah bermain di Liga FAM.

"Saya ambil alih pasukan ini daripada Datuk Ahmad Jazlan Yaacob (ketika itu Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan) pada 2005 apabila Kelantan jatuh ke Liga FAM yang mana tidak ramai yang berminat untuk menguruskan pasukan ini dan kembali ke Liga Perdana pada tahun berikutnya.

"Saya bersyukur dapat bersama Kelantan dalam saat kegemilangan dan harap The Red Warriors lebih berjaya pada masa hadapan. 

"Saya percaya Bojan (Hodak) boleh melakukan tugas sebagai pengurus walaupun pada masa yang sama menjadi jurulatih," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berkaitan perarakan tiga piala itu di Kota Bharu semalam.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dalam laman sosial Facebooknya dipetik sebagai berkata, KAFA membuat keputusan untuk melantik Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih dan pengurus pasukan selepas Azman yang juga Setiausaha Agung persatuan tersebut memohon untuk tidak menjadi pengurus pasukan pada musim 2013.

Bagaimanapun, Azman masih kekal sebagai Setiausaha Agung KAFA.
Ketika ditanya sebab-sebab pengunduran beliau daripada pengurusan pasukan, Azman berkata, beliau ingin memberikan peluang kepada orang baharu supaya Kelantan dapat diuruskan dengan lebih baik.

"(Pengunduran) ini telah lama saya fikirkan tetapi seboleh-bolehnya saya pun nak beri peluang kepada orang lain kerana bila terlampau lama akan banyak perkara yang boleh berlaku.

"Usia saya pun sudah meningkat. Dari segi tekanan dan beban kerja, saya rasa saya harus lepaskan secara beransur-ansur," katanya. 

Sementara itu, Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail berkata, penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang lebih dikenali sebagai Mat Yo akan dilepaskan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) jika persatuan itu bersetuju dengan syarat-syarat KAFA.
"Jawatankuasa Pengurusan bersetuju untuk menyerahkan urusan pemindahan Mat Yo (Norshahrul) kepada Tan Sri (Annuar Musa). Beliau akan guna budi bicara dan pandangan dia dalam menentukan kedudukan Mat Yo.

"Selain itu, kita telah menghantar surat tawaran kepada PBNJ dan terserah kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada setuju atau tidak dengan tawaran yang kita tetapkan," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan syarat-syarat tersebut.

Perpindahan Mat Yo, pemain paling bernilai untuk tiga tahun berturut-turut itu, mencipta polemik apabila timbul khabar angin mengatakan PBNJ sanggup membayar yuran perpindahan sebanyak RM1 juta kepada KAFA bagi membolehkan Mat Yo beraksi bersama pasukan Johor pada musim depan.

Dalam perkembangan lain, Rosmadi berkata, KAFA akan mengadakan Majlis Perarakan Tiga Piala pada 20 November ini bagi menghargai penyokong yang sentiasa memberi sokongan kepada The Red Warriors sehingga berjaya menyapu bersih ketiga-tiga piala pada musim ini.

Rosmadi berkata, perarakan itu akan bermula pada pukul 10.30 malam di pekarangan Hotel Renaissance selepas santapan malam bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, selain turut mempersembahkan ketiga-tiga piala tersebut kepada baginda di hotel itu.

--- KOSMO

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena