Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, September 17, 2012

Tekanan pertahan emas lebih dirasai

TUGAS mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA 2013 menjadi keutamaan skuad Harimau Muda Malaysia.


TEKANAN mempertahankan emas temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar pastinya lebih dirasai pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee sekiranya impian ‘berguru’ di Brazil menjadi kenyataan.

Apa tidaknya, peluang meraih pengalaman beraksi di Liga Brazil pastinya mengundang 1,001 kecaman peminat fanatik tempatan sekiranya Harimau Muda gagal menterjemahkannya menjadi satu kejayaan di bumi Myanmar tahun depan.

Enggan melatah dengan situasi itu, Kim Swee sebaliknya menegaskan anak-anak buahnya sentiasa bijak mengendalikan tekanan selaku juara bertahan ‘ibu segala emas’ (emas bola sepak) pada temasya sukan SEA buat kali kedua berturut-turut.

“Sebagai juara bertahan, kami perlu melakukan sesuatu serta selalu berada di hadapan.

“Saya percaya pasukan lain seperti Indonesia, Thailand dan juga Myanmar sebagai tuan rumah tidak hanya ‘duduk diam’ tanpa sebarang persiapan rapi.

“Jadi, saya yakin kami mampu mengendalikan tekanan sebagai juara bertahan dengan sempurna tidak kira sama ada dapat menimba ilmu di Brazil ataupun tidak,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Hasrat Harimau Muda ‘berguru’ di Brazil sebagai persiapan awal mempertahankan emas temasya Sukan SEA sebelum ini mendapat ‘lampu hijau’ pelbagai pihak termasuk Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Biarpun pendedahan di Brazil dilihat memberikan impak lebih positif buat anak-anak buahnya, Kim Swee menjelaskan bahawa situasi itu belum muktamad selagi belum mendapat ‘hitam putih’ daripada pihak-pihak berkenaan.

“Saya sendiri akan ke sana (Brazil) terlebih dahulu bagi mengenal pasti sama ada sesuai atau tidak Harimau Muda pergi ke Brazil. Jika hanya mendapat skuad bawah 17 tahun sebagai lawan pun tiada guna juga.

“Biarpun Brazil dilihat pilihan yang bagus, keberkesanan menimba ilmu di Slovakia seperti mana sebelum ini juga tidak boleh diketepikan sebegitu sahaja,” tegas Kim Swee.

--- KOSMO

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...