Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, September 13, 2012

MP Muar tarik diri, FAM haram vuvuzela

KUALA LUMPUR - Tiada lagi kelibat MP Muar dalam saingan bola sepak tempatan apabila kelab dari Johor itu memberi pengesahan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mereka menarik diri daripada Liga Perdana musim depan.

Sebagai alternatif mencari pengganti, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, NS Betaria akan berdepan naib juara Liga FAM, Shahzan Muda bagi memburu slot yang ditinggalkan MP Muar.

"MP Muar secara rasmi mengemukakan permohonan menarik diri daripada bermain di Liga Perdana musim depan. Setelah berbincang dalam mesyuarat JKPT baru-baru ini, kami memutuskan slot itu akan menjadi rebutan NS Betaria dan Shahzan Muda.

"Kedua-dua pasukan akan bertemu pada 6 Oktober ini di salah satu gelanggang yang belum ditetapkan di Lembah Klang dan pemenang akan beraksi dalam Liga Perdana 2013, " katanya semalam.

Hamidin turut menjelaskan JKPT juga mempunyai perancangan jika T-Team dibubarkan.

"Kami hanya akan membuat pengumuman pasukan yang akan menggantikan T-Team jika mendapat pengesahan pasukan itu menarik diri, " katanya.

JKPT juga mencapai kata putus mengharamkan vuvuzela di semua stadium berkuatkuasa serta-merta bagi baki saingan Piala Malaysia.

"Persatuan bola sepak negeri seperti Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan membuat aduan vuvuzela menjejaskan keselesaan penonton lain, di samping mengganggu jurulatih yang mahu memberi kepada pemain di atas padang, " katanya.

Hamidin juga memaklumkan format pertandingan Piala Malaysia tahun depan yang sebelum ini menetapkan 24 pasukan akan dikaji.

Ini bagi memberi ruang kepada semua pasukan dan kelab menyatakan pendapat masing-masing sebelum seminar mengenai Liga Malaysia 2013 di di Hotel Grand Bluewave pada 8 dan 9 Oktober ini.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...