Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, February 9, 2012

Perak Rampas Kedudukan Pendahulu Liga Super Daripada Kelantan

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Perak merampas kedudukan pendahulu Liga Super daripada Kelantan selepas mencatatkan kemenangan tipis, 2-1 ke atas Sarawak di Stadium Ipoh, Perak Rabu malam.

Dua gol tuan rumah dijaringkan oleh pemain importnya dari Slovakia, Michal Kubala pada minit ketujuh dan Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri pada minit ke-26 sebelum pemain import lawan Vedran Muratovich menjaringkan gol saguhati menerusi sepakan penalti lapan minit kemudian.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Seladang yang sebelum ini menduduki tangga ketiga untuk menerajui carta liga daripada Kelantan dengan mengumpul 15 mata selepas mengharungi enam perlawanan.

Kelantan jatuh ke tangga kedua selepas mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Jiran mereka, Terengganu turut mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang Selangor PKNS di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Gol tuan rumah dijaringkan oleh pemain importnya kelahiran dari Liberia Francis Forkey Doe pada minit ke-37 sebelum Mohd Helmi Remeli menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat sembilan minit kemudian.

Selangor dan Johor FC turut menuruti jejak langkah Kelantan dan Terengganu selepas mencatatkan keputusan seri di gelanggang sendiri.

Gergasi Merah terikat 1-1 ketika menentang Lions XII dari Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan Shahril Ishak membuka tirai jaringan untuk pasukan pelawat pada minit ke-43 sebelum K. Gurusamy menyamakan kedudukan bagi skuad Red Giants pada minit ke-45.

Johor FC pula diikat oleh Felda United, 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-82 sebelum penyerang pasukan pelawat Mohd Azrul Ahmad menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.

Negeri Sembilan pula mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman,Paroi.

Pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan penyerang mereka Zairo Anuar Zailani pada minit ke-36 sebelum skuad Rusa membalas dengan dua gol menerusi jaringan pemain import mereka Jean Effa Owona pada minit ke-44 dan Mohd Shakir Ali pada minit ke-65.

Kedah akhirnya berjaya meleburkan dua rekod kekalahan mereka sebelum ini, selepas menewaskan Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat, Melaka menerusi jaringan tunggal penyerangnya, Mohd Khyril Muhymeen pada minit keenam.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...