Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 5, 2012

Karathu hadiah koleksi medal untuk peminat


MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
January 3, 2012

“Hadiah istimewa untuk rakyat Kelantan,” begitulah komen ringkas bekas Ketua Jurulatih Kelantan musim lalu, Datuk M Karathu yang menyerahkan tiga medal peribadi milik beliau sepanjang meraih kejayaan bersama The Red Warriors untuk dipamerkan di Muzium Negeri Kelantan bagi tatapan rakyat negeri ini.

Menurutnya, beliau cukup gembira kerana dapat menunaikan janjinya dengan menyerahkan ketiga-tiga medal tersebut kepada Kerajaan Negeri Kelantan meskipun tidak lagi membimbing pasukan The Red Warriors pada musim ini.

“Sebelum saingan Liga Malaysia musim lalu berakhir lagi saya sudah berjanji untuk menyerahkannya. Hari ini saya menunaikan janji dengan menyerahkan ketiga-tiga medal ini kepada Kerajaan Negeri untuk tatapan umum rakyat negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Karathu berkata, kejayaan Kelantan merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih dan Liga Super merupakan satu sejarah baru dalam landskap bola sepak negeri ini.

“Jadi ini merupakan hadiah istimewa saya kepada rakyat negeri ini yang banyak memberikan sokongan sepanjang saya berada di sini.

“Mungkin 30, 40 atau 100 tahun lagi rakyat negeri ini dapat mengetahui bahawa pasukan Kelantan pernah bergelar juara. Ini merupakan satu sejarah dan menjadi motivasi kepada generasi akan datang,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood; Timbalannya, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Sementara itu Abdul Fattah berkata, pihak Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada Karathu yang banyak berjasa kepada negeri ini dengan membawa pasukan bola sepak Kelantan meraih dua kejuaraan tahun lalu.

--- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...