Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, July 11, 2011

Bolasepak: Khairul Fahmi Dalam Kesebelasan Utama Menentang Arsenal Rabu Ini

11 Julai, 2011 21:43 PM

PETALING JAYA, 11 Julai (Bernama) -- Penjaga gol sensasi negara, Khairul Fahmi Che Mat bakal diturunkan dalam kesebelasan utama skuad kendalian Datuk K. Rajagobal menentang skuad Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dalam perlawanan persahabatan siri jelajah Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.

Sebelum ini, Khairul Fahmi, yang lebih dikenali sebagai 'Apek', mengalami kecederaan setelah dirempuh pemain Lubnan ketika beraksi mewakili skuad Olimpik dalam pusingan kedua kelayakan Olimpik yang mengakibatkan kecederaan bahu kanan.

"Dia kini telah sembuh dan berkemungkinan akan diturunkan Rabu ini. Ini akan menjadi medan ujian perlawanan persahabatan pertama selepas sembuh buat (Khairul) Fahmi menjelang pertemuan dengan Singapura dalam kelayakan kedua Piala Dunia nanti.

"Kesemua pemain lain juga dilihat mempamerkan aksi yang cergas. Namun, Safee Sali tidak akan beraksi menentang Arsenal nanti kerana masih dibelenggu kecederaan," kata Rajagobal kepada pemberita di sebuah hotel di sini Isnin.

Selepas menentang 'The Gunners', skuad Harimau Malaya akan menggalas cabaran menentang Liverpool pada 16 Julai sebelum bertandang ke Singapura pada 23 Julai dalam perlawanan kelayakan kedua Piala Dunia 2014 Zon Asia.

Perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai.

Rajagobal berkata perlawanan menentang Arsenal akan digunakan sebaik-baiknya untuk memantapkan persiapan skuad Harimau Malaya sebelum bertemu pasukan negara republik itu.

"Ia merupakan satu peluang terbaik buat pasukan negara. Saya percaya dengan kemampuan barisan muda negara, kita mampu memberikan aksi terbaik dan begitu juga ketika menentang Liverpool nanti.

"Apa yang penting, saya mahu anak didik saya sentiasa menumpukan fokus utama kepada perlawanan kelayakan Piala Dunia dan mendapatkan pengalaman sebaik mungkin," katanya.

Rajagobal berkata skuad kebangsaan tidak akan menggunakan corak permainan defensif semata-mata sebaliknya akan menampilkan strategi baru dalam misi mencari ramuan terbaik untuk pasukannya.

"Mereka satu pasukan yang dikenali bagus. Saya lihat bermain secara defensif akan merugikan kita. Saya akan melihat apa kaedah yang terbaik sebelum menentang Arsenal," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena