Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, June 10, 2011

Bakar bendera, N. Sembilan kena denda RM30,000

PETALING JAYA - Sudahlah skuad Piala Presidennya dibayangi kes rasuah sehingga terheret ke mahkamah, satu lagi malang menimpa Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) apabila didenda RM30,000 kerana kelakuan penyokongnya membakar bendera negeri Kelantan.

Hukuman itu dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersidang ekoran kejadian dalam perlawanan Liga Super melibatkan kedua-dua pasukan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban pada 12 Mei lalu.

PBNS yang dipertanggungjawabkan sebagai tuan rumah perlawanan itu, bagaimanapun agak bernasib baik memandangkan denda maksimum bagi kelakuan yang menyalahi Fasal 6.9.6 dan 6.9.7 Kod Tataetika FAM malah dianggap cukup serius oleh jawatankuasa itu ialah RM100,000.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Mohd. Taufik Tan Sri Razak berkata: "Kami mengenal pasti kelakuan itu dilakukan oleh penyokong Negeri Sembilan melalui kawasan kejadian yang menempatkan dan mempunyai lebih ramai orang mereka.

"Denda RM30,000 dianggap memadai dengan kesalahan itu selain persatuan itu diberikan amaran keras kepada persatuan itu supaya penyokong mereka tidak mengulanginya pada masa hadapan," katanya selepas mesyuarat lebih dua jam di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Katanya, kes itu dirujuk terus kepada jawatankuasa tanpa mendapat aduan mana-mana pihak termasuk daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) atau kelab penyokong Wira Merah namun hanya berdasarkan kejadian yang disiarkan dan dilaporkan media massa.

"Walaupun tanpa aduan, jawatankuasa masih mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes ini dengan berdasarkan peruntukan Kod Tataetika FAM setelah kejadian tersebut tersiar di media massa dan ditakrif sebagai amat serius," katanya.

Mohd. Taufik berkata, jawatankuasa juga masih mendenda PBNS dengan kadar yang lebih ringan setelah menimbangkan rayuan wakilnya yang dihadapkan semalam dan menilai langkah keselamatan pada perlawanan itu dengan kehadiran pasukan keselamatan.

"Mereka masih diberikan tempoh 14 hari untuk merayu kepada Jawatankuasa Rayuan FAM," katanya yang turut mengingatkan penyokong Terengganu dan Kelantan supaya menjadikannya pengajaran dan peringatan penting serta berdisiplin pada perlawanan akhir Piala FA, esok.

----- Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...