Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, March 15, 2011

Razali buat perangai lagi (Harian Metro Online)

ALAH bisa tegal biasa! Pepatah lama itu menepati perwatakan pemain bermasalah Perak, Razali Umar kandasamy yang ternyata sukar membuang tabiat buruk lamanya apabila mengulangi tindakan ponteng latihan walaupun berjanji untuk berubah.

Ternyata peluang dan pengampunan diberikan pengurusan pasukan kepadanya selepas ponteng latihan selama hampir tiga minggu sekembali pasukan Perak dari lawatan ke Bangkok penghujung Disember lalu gagal menyedarkan Razali mengenai tugas dan tanggungjawabnya selaku pemain bola sepak profesional.

Dalam perkembangan terbaru, Razali mengulangi tabiat buruknya apabila tidak hadir latihan sejak Rabu lalu. Bermula dengan penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pasukan memaklumkan dia mengalami cirit-birit pada 9 Mac itu, pemain itu terus menghilangkan diri tanpa sebarang perkhabaran. membuat pengurusan pasukan Seladang tertanya-tanya apa gerangan yang menimpanya selepas itu.

Berikutan itu, dia diketepikan ketika Perak bertandang ke Kuala Terengganu menghadapi T-Team dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu.

Malah sehingga semalam, kelibat Razali masih tidak kelihatan ketika skuad Perak turun dalam sesi latihan sebelah pagi untuk membuat persiapan menjelang pertemuan dengan Terengganu dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Ipoh, malam ini.

Jurulatih pasukan, Norizan Bakar ketika ditanya mengenai perkara itu mengesahkan mengenai ketidakhadiran Razali, tapi berkata dia tiada kuasa untuk bertindak terhadap pemain itu.

“Saya hanya bertanggungjawab terhadap masalah pemain semasa dalam padang dan latihan. Tindakan terhadap pemain tidak hadir latihan itu kena tanya pengurus pasukan,” katanya.

Norizan yang mengakui tidak mengetahui punca pemain itu tidak hadir latihan sehingga semalam, berharap ada pihak yang mampu memberitahunya kenapa pemain itu bertindak sedemikian.

“Saya amat berbesar hati jika ada sesiapa boleh menjelaskan kenapa Razali berkelakuan seperti ini. Saya tidak faham kerana ini bukan kali pertama dia berbuat demikian,” katanya.

Walaupun kecewa, Norizan tidak mahu menjadikan Razali sebagai isu besar kerana perlu menjaga kepentingan anak buahnya yang lain.

“Saya mempunyai ramai pemain lain yang berminat mencurah kudrat kepada pasukan. Jadi Razali bukan faktor penting dalam pasukan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...