Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, March 1, 2011

Perak waspada hadapi Harimau A (Utusan Malaysia Online)


Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli (depan kanan) semakin berbisa menerusi gandingan dengan Mohd. Shafiq Jamal dalam pasukan Perak yang akan menentang Harimau Muda A di Ipoh hari ini.


IPOH - Benteng pertahanan Perak perlu berhati-hati dalam pertemuan Liga Super menentang Harimau Muda A hari ini apabila dua tonggak pertahanan mereka terpaksa diketepikan.

Pasukan kejor yob kejor kehilangan pemain pertahanan berpengalaman, Mohd Khairi Zainuddin yang terpaksa menjadi penonton kerana kesalahan kad kuning.

Rakannya, Mohd Syahman Zainuddin turut direhatkan apabila kecederaan pada bahu yang dialaminya, belum pulih sepenuhnya.

Namun begitu, Khairi percaya benteng pertahanan Perak tetap mantap walaupun ketiadaan dia dan Mohd. Syahman.

"Skuad Seladang tidak bergantung kepada pemain tertentu, tetapi semua pemain mampu mengisi kekosongan jika berlaku penggantungan atau kecederaan," kata pertahanan berpengalaman itu.

Beliau menyifatkan pertemuan kedua-dua pasukan hari ini menarik dan sengit kerana mempunyai kekuatan yang seimbang.

Perak semakin menjadi perhatian kerana mengekalkan rekod tanpa kalah selepas lima perlawanan.

Selain Perak, pendahulu liga, Kelantan masih mengekalkan rekod tanpa kalahnya.

Perak dan Kelantan terikat 11 mata tetapi kedudukan mereka dipisahkan melalui kelebihan jaringan gol.

Kelantan mempunyai kelebihan tujuh gol yang mana membolehkannya menjadi pendahulu liga.

Perak hanya mempunyai kelebihan lima gol, di tangga kedua liga.

Ketiadaan kedua-dua tonggak pertahanan itu akan membuatkan Norizan Bakar memikirkan semula strateginya untuk mengekang kepantasan pemain Harimau Muda A.

Norizan mempunyai kelebihan dalam melakukan percaturan pemain pertahanan kerana prestasi pemain utama dan simpanannya hampir sama.

Sementara itu, gandingan Mohd Shafiq Jamal dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli akan menjadi duri dalam daging kepada skuad bimbingan Ong Kim Swee kelak.

Selepas beraksi dalam lima perlawanan, gandingan kedua-dua penyerang itu berjaya memastikan kemenangan.

Kehadiran Shahrul Nizam Mustapha dan K. Nantha Kumar di bahagian tengah, menjadi penggerak utama serangan Perak.

Shahrul Nizam dan Nantha Kumar melakukan banyak hantaran tepat kepada Shafiq dan Akmal Rizal untuk menjaringkan jaringan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...