Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 29, 2011

Perlawanan Sumbangsih, Ujian Pertama Karathu Bimbing Kelantan

KOTA BAHARU, 27 Jan (Bernama) -- Perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara Kelantan dengan Selangor Sabtu ini menjadi ujian pertama bagi ketua jurulatih baru pasukan The Red Warriors, Datuk M Karathu yang mengambil alih tempat B Sathianathan yang menjalani penggantungan enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ujian yang dianggap berat oleh Karathu itu bagaimanapun tidak menjadi penghalang buat bekas jurulatih kebangsaan tersebut untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kepadanya.

"Saya tahu bukan mudah untuk saya kembali semula ke Kelantan dan ini tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul selepas kejayaan Sathianathan yang berjaya membawa Kelantan menjuari Piala Malaysia musim lalu.

"Namun ini semua akan dipikul dengan baik dan dengan kerjasama semua pihak, Kelantan mampu untuk beraksi cemerlang menentang Selangor nanti," katanya kepada pemberita di Wisma Kafa di sini Khamis.

Karathu pernah membimbing Kelantan pada 1993 yang ditangannya pasukan itu layak ke separuh akhir Piala Malaysia.

Selain itu jurulatih itu juga pernah membimbing Negeri Sembilan, Perak, Kelab Woodlands Wellington FC (Singapura) dan Sri Lanka.

Disebabkan pengalaman luasnya itu, Kafa mengambil keputusan memilih semula Karathu yang mula melapor diri pagi tadi.

"Saya mohon kerjasama semua pihak termasuk penyokong Kelantan agar bersama saya untuk menjadikan Kelantan pasukan terbaik pada musim baru ini," katanya.

Beliau berkata buat masa ini belum boleh buatnya memberikan sebarang komen terhadap pasukan Kelantan dan memerlukan masa dalam tempoh sehari dua sebagai proses mengenali pemain seterusnya mengetahui kelemahan dan kelebihan pemain.

"Saya mahu mereka jadi pemain berdisiplin dan bermain seperti mana pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang lalu dan jika itu dapat dilakukan, Kelantan boleh menjadi juara lagi," katanya.

Sathianathan pula berkata nama Karathu sememangnya dicadangkan oleh beliau kepada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berdasarkan pengalaman Karathu melatih beberapa pasukan tempatan dan luar negara.

"Karathu adalah yang paling layak kerana pengalamannya yang lama dalam sukan ini dan saya yakin beliau boleh mengisi dengan baik tempat yang terpaksa dikosongkan oleh saya," katanya.

"Saya akan membantu Karathu buat permulaan bagi mengenal pemain dan apabila sudah biasa saya akan serahkan sepenuhnya kepada beliau melatih Kelantan," katanya yang kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Akademi The Red Warriors.

Beliau juga berkata ada jurulatih lain yang dicadang untuk malatih Kelantan tetapi mereka mahukan gaji yang tidak munasabah.

Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail menegaskan Karathu bukanlah calon terdesak bagi Kafa tetapi beliau dipilih disebabkan pengalaman luas dan diyakini boleh meneruskan legasi Sathianathan sebelum ini.

"Kita ambil Karathu kerana pengalamannya selain pernah melatih Kelantan dan bukan kita terdesak untuk mengambilnya menjadi jurulatih," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...