Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, January 31, 2011

Messi mengganas (Harian Metro Online)

MADRID: Lionel Messi menjaringkan dua gol pada lewat permainan untuk membantu pendahulu La Liga, Barcelona menewaskan Hercules, 3-0, di gelanggang lawan, semalam.

Ia kemenangan ke-15 berturut-turut buat kelab Catalan itu bagi menyamai rekod La Liga yang dilakukan Real Madrid pada musim 1960-61.

September lalu, Hercules mengejutkan juara bertahan itu dengan kemenangan 2-0 di Nou Camp, kekalahan tunggal dialami Barca dalam kempen liga musim ini.

Hercules memberi tentangan sengit kepada pasukan pelawat hinggalah Pedro membuka tirai jaringan sebelum babak pertama tamat.


Pemain terbaik dunia, Messi meledak dua gol di hujung permainan selepas pasukan tuan rumah beraksi dengan 10 pemain berikutan Francisco Farinos menerima kad kuning kedua pada minit ke-85.

Barca kini mengumpul 58 mata daripada 21 perlawanan, mengatasi Real Madrid yang berkunjung ke Osasuna, awal pagi tadi, dengan tujuh mata.

“Jaringan sebelum rehat banyak membantu kami namun kedudukan tidak terjamin dan kealpaan pasti dihukum. Kad merah kepada Farinos membantu kami,” kata jurulatih Barca, Pep Guardiola.

Keputusan pasti berbeza di Rico Perez jika David Trezeguet berjaya menyempurnakan peluang terbaik di minit ke-20 ketika Hercules sukar menembusi pertahanan pelawat.

Barca gagal mendominasi permainan hinggalah Xavi melorongkan hantaran kepada Pedro yang melepaskan rembatan menerjah ke gawang bagi meneruskan rekod cemerlang menjaringkan gol dalam enam perlawanan liga berturut-turut.

Barca kemudian terpaksa menunggu hingga Farinos dibuang padang untuk menggandakan jaringan menerusi percubaan Messi pada minit ke-87.

Dua minit kemudian, Dani melakukan hantaran lintang kepada bintang Argentina itu yang mudah menolak masuk gol ketiga sekali gus mengumpul 21 gol, di belakang penyerang Real, Cristiano Ronaldo dengan 22 gol.

Sementara itu, Deportivo Coruna menafikan kemenangan Sevilla yang beraksi dengan 10 pemain apabila menghasilkan gol lewat permainan untuk seri 3-3 di laman sendiri.

Sporting Gijon dan Real Zaragoza turut mencatat kemenangan untuk keluar daripada kelompok pasukan bawahan.

Sporting mencatat peningkatan dengan meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan Real Mallorca 4-0. - Reuters

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...