Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, January 11, 2011

'Belum rezeki saya' (Metro)

PENYERANG tengah skuad Harimau Malaya, Amar Rohidan, 23, tidak berkecil hati apabila mendapati sebahagian besar rakan sepasukan memperoleh ganjaran besar disumbangkan kerajaan negeri masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, sebagai anak jati Perlis beliau berasa terkilan apabila mendapati sumbangannya kepada negara selepas buat kali pertama menjulang Piala AFF Suzuki 2010 di Indonesia, seolah-olah tidak dihargai kerajaan negeri.

“Mungkin ini (sumbangan daripada kerajaan negeri) adalah rezeki kawan-kawan dan mungkin rezeki saya ada selepas ini. Saya tidak mengharap sangat tapi jika boleh, mereka menghargai sumbangan saya mengharumkan nama negara,” katanya ketika mengulas kelewatan kerajaan negeri memberi ganjaran kepadanya selaku pemain tunggal Perlis dalam skuad kebangsaan yang menjulang Piala Suzuki AFF, menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

Sebahagian besar pemain pasukan negara dijanjikan dan menerima ganjaran besar, termasuk rumah dan lot tanah selain wang tunai daripada kerajaan negeri masing-masing.

Amar berkata, pihak kerajaan negeri menerusi Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Galian dan Penguatkuasaan negeri, Datuk Mat Rawi Kassim, hadir ke rumahnya di Taman Emas, Bukit Keteri, untuk menyatakan penghargaan kepadanya.

“Beliau memaklumkan kerajaan negeri akan menganjurkan majlis khas untuk meraikan saya dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata, sebelum itu, bapanya, Rohidan Rashid, 51, dihubungi salah seorang pegawai kerajaan negeri untuk mendapatkan maklumat berhubung butiran peribadinya, termasuk asal usulnya sama ada benar-benar penduduk Perlis.

“Saya adalah penduduk Perlis dan beraksi bersama skuad negeri sejak beberapa tahun lalu sebelum ke Kedah untuk menghadapi Liga Super musim ini. Saya masih tertunggu-tunggu majlis berkenaan, tambahan pula ketika ini saya mempunyai jadual ketat termasuk latihan bersama skuad baru,” katanya.

Amar berkata, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sebelum ini memberikan sumbangan wang tunai RM5,000 kepadanya sebagai menghargai sumbangannya mengharumkan negara dan Perlis.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...