Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, January 17, 2011

'Arahan sejak tiga bulan lalu' (Berita Harian Online)

Oleh Syed Riduan Ahmad

smriduan@nstp.com.my
2011/01/17

Hamidin anggap masalah tidak timbul mengenai isu lampu stadium

“SUDAH bincang tiga bulan dulu!” Itu jawapan diberi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai arahan bermain pada sebelah petang kepada enam pasukan Liga Super dan lapan pasukan Liga Perdana.

“Saya rasa tiada masalah timbul berkenaan arahan menaik taraf gelanggang perlawanan sebelum liga bermula musim ini. Kami sudah berbincang dengan semua persatuan dan kelab sejak tiga bulan lalu dan mereka memahami serta bersetuju dengan arahan ini,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT).

“Kerja menaik taraf lampu stadium sehingga melepasi tahap piawaian 800 lux dan memperbaiki rumput di padang (Kelantan dan Terengganu), sedang giat dijalankan. Walaupun sudah melepasi tempoh 15 hari sebelum pertandingan, JKPT tetap akan memberi pelepasan jika piawaian dipenuhi.

“Minggu depan, kami akan menghantar pegawai-pegawai ke setiap gelanggang bermasalah untuk memeriksa semula keadaan lampu dan padang, jika didapati memenuhi piawaian ditetapkan, perlawanan boleh diadakan semula pada sebelah malam.”

Menurut Hamidin, arahan ini untuk kebaikan persatuan atau kelab itu juga. “Jika setiap negeri mempunyai gelanggang yang memenuhi piawaian, mudah bagi mereka sekiranya terpilih menganjurkan perlawanan peringkat antarabangsa,” katanya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi JKPT mengeluarkan arahan perlawanan di gelanggang Sabah, Perak, Johor FC, Kelantan, Terengganu dan T-Team perlu diadakan di sebelah petang sekiranya lampu limpah tidak memenuhi piawaian sebelum hari pertandingan 29 Januari ini.

Bagaimanapun arahan itu mendapat kritikan daripada bekas Naib Presiden FAM, Datuk Jamal Nasir Rasdi yang mendakwa arahan JKPT mustahil untuk diselesaikan memandangkan hari pertandingan sudah begitu hampir.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...