Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, December 28, 2010

Liga Super Malaysia umum penaja baru minggu depan (Utusan Malaysia Online)

PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengumumkan penaja utama dalam masa terdekat sebelum saingan musim 2011 Liga Super Malaysia (MSL) Januari depan.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia akan diumumkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi selepas jawatankuasa meneliti kertas kerja daripada penaja dan mendapat perkenan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

"Perkara ini mula disoalkan media menanyakan tentang siapa yang bakal menjadi penaja utama selepas kontrak dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) akan berakhir pada 26 Januari depan, jadi kami ingin mengumumkan di sini penaja baru bakal diputuskan dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media di Wisma FAM semalam.

Jelas Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM, kata putus dalam mesyuarat yang dilangsungkan itu masih belum muktamad, ini berikutan ia akan dibawa terlebih dahulu kepada Mesyuarat Exco FAM.

"Antara syarat yang kami letakkan kepada penaja baru ini ialah kontrak seboleh-bolehnya diikat dalam tempoh empat tahun, ini bermakna dari 2011 hingga 2014 dan kami memberi ruang kepada mana-mana penaja yang berminat.

"Bagaimanapun kami tetap teliti dengan pemilihan penajaan ini walaupun bersifat terbuka dan mereka perlu mengikut tarikh akhir yang diberikan agar ia tidak mengganggu perjalanan liga yang bakal bermula tahun depan," katanya.

Ditanya sama ada pengumuman penajaan ini akan mengganggu persiapan pasukan berikutan hampir dengan sepak mula musim 2011, Annuar berkata, ia tidak akan menjejaskan pasukan dalam liga terutama sekali dalam penyediaan jersi pasukan.

"Semua pasukan tidak perlu menyediakan ruang di bahagian dada jersi untuk cetakan penaja, ini kerana mereka (pasukan) diberi kebebasan untuk mempamerkan penaja mereka sendiri seperti saingan liga di Eropah.

"Kami akan cuba cari jalan terbaik untuk memberi ruang kepada penaja utama dalam saingan liga musim depan, kalau boleh penajaan baru ini mampu untuk mempertingkatkan mutu liga tempatan," katanya.

Annuar berkata, saingan musim depan seharusnya melalui proses transformasi dan jawatankuasanya berharap dapat menjadikan penaja baru ini sebagai satu rakan kongsi sebagai satu usaha untuk memartabatkan liga tempatan.

"Saya mahu saingan dan penganjuran liga tempatan mencapai standard Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

"MSL perlulah lebih mencabar dan membawa bola sepak Malaysia ke depan seiring dengan peningkatan pasukan kebangsaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena