Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, December 10, 2010

'Cari penyelesaian' (Harian Metro Online)

“SAYA akan cari jalan penyelesaian terbaik dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan (Kafa) bagi menangani kemelut tiga bekas tonggak Kelantan dan berharap ia akan menemui noktah selain mengharapkan tiga pemain itu tidak menjadi mangsa,” kata pengurus skuad T-Team, Rozi Mamat.

Menurut Rozi, beliau berharap campur tangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meredakan kemelut itu dan meminta badan induk itu mencari formula terbaik supaya tidak timbul masalah lebih rumit terutama terhadap tiga pemain itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan tiga bekas pemain The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Muhammad dan Azizi Mat Rose, yang sudah menjalani latihan bersama skuad baru sejak beberapa hari lalu, namun didakwa membelakangi bekas majikannya Kafa kerana bersetuju menyarung jersi T-Team musim depan.

Akhbar melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mana-mana pemain yang melanggar kontrak bersama pasukan lama bakal berdepan kemungkinan digantung semusim sekiranya didapati bersalah melanggar kontrak.

Menurut Rozi, setiap masalah pasti ada penyelesaian dan mengharapkan isu tiga pemain itu diselesaikan dengan cara baik oleh pengurusan T-Team dan Kafa.

“Pada dasarnya kami sudah mengadakan perbincangan dengan Presiden Kafa, Tan Sei Annuar Musa, supaya perkara ini dapat diselesaikan sebelum tempoh terakhir pendaftaran pemain 2011, 15 Disember ini.

“Saya yakin pertemuan itu bakal menerbitkan jalan penyelesaian terbaik walaupun Presiden Kafa menyatakan, masih ada syarat yang perlu dibincangkan,” katanya.

Rozi berkata, andai kemelut gagal diselesaikan dalam masa terdekat, beliau akan berbincang sekali lagi dengan Annuar berhubung isu berkenaan.

Rozi turut mengharapkan isu itu tidak berpanjangan dan diselesai dengan berhemah serta perlu ada tolak ansur antara dua persatuan terbabit demi menjaga persahabatan antara dua pasukan berjiran yang sudah lama terjalin selain mengharapkan pemain tidak diheret ke kancah berkenaan.

“Terserah kepada Kafa dan FAM menentukan status mereka dan kami harap mereka tidak menjadi mangsa keadaan yang mungkin menjejaskan karier selain membenarkan tiga bekas tonggak Kelantan itu bermain bersama T-Team musim depan,” katanya.

Mengulas kemelut itu, Rozi berkata, sebaik kontrak pemain dengan Kafa tamat 30 November lalu, T-Team menghantar surat rasmi kepada Kafa memohon pelepasan tiga pemain itu untuk bermain dengan T-Team pada musim depan.

“Namun, tiada jawapan daripada Kafa. Kami bukan hanya kirim kepada Kafa saja tapi juga kepada persatuan negeri lain bagi memohon pelepasan pemain,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...