Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, March 2, 2010

Ancelotti yakin Terry bakal bangkit (Utusan Malaysia)

LONDON -- Carlo Ancelotti masih menaruh keyakinan terhadap John Terry, meskipun ketua pasukan Chelsea itu tidak mempamerkan kecemerlangan sejak kebelakangan ini.

Terry sekali lagi dilihat gagal mempamerkan persembahan menarik, apabila menjadi antara penyebab pasukannya tewas 2-4 di tempat sendiri kepada Manchester City, kelmarin.

Dia turut dimalukan oleh bekas rakan pasukan England, Wayne Brige, apabila pemain itu menolak salam yang dihulurkan oleh Terry.

Kedua-dua pemain itu tidak bertemu sejak timbul skandal perhubungan Terry dengan bekas teman wanita Bridge, Vanessa Perroncel.

Kesannya, tugas selaku ketua pasukan England yang disandang Terry, digugurkan oleh Fabio Capello, dan Bridge turut mengumumkan tidak akan berada dalam skuad kebangsaan England.

Namun, prestasi Terry bukan sahaja tidak menentu kelmarin, sebaliknya sejak minggu lalu, apabila pasukannya turut dikalahkan Inter Milan dalam Liga Juara-Juara.

Skuad Ancelotti merudum apabila Carlos Tevez dan Craig Bellamy masing-masing menjaringkan dua gol kelmarin.

Malang menimpa pasukan Chelsea apabila Juliano Belletti dan Michael Ballack dilayangkan kad merah, memaksa Blues menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain.

Namun, pengurus Chelsea, Ancelotti menegaskan, mereka tidak panik kerana mempunyai kelebihan satu mata, sebagai pendahulu Liga Perdana.

"Kami melakukan kesilapan dan biasanya jika kesilapan berlaku dalam bola sepak, anda akan kalah.

"Kami akan terus mara, di samping mengekalkan penguasaan terhadap keyakinan kami.

"Kami masih di tangga teratas. Walaupun hanya satu mata berbeza, namun ia tidaklah teruk. Ini adalah perkara yang baik tentang perlawanan ini.

"Ia bukanlah hari yang bagus buat kami tetapi kami harus kekalkan keyakinan terhadap kualiti yang kami ada,'' kata Ancelotti.

Bridge enggan bersalam dengan Terry sebelum sepak mula, namun Ancelotti menegaskan pemainnya amat fokus terhadap perlawanan.

"Saya tidak fikir pemain saya terganggu, begitu juga dengan pemain City, malah pemain kami tidak berminat untuk mengambil tahu.

"John Terry melakukan kesilapan tetapi bukan dalam perlawanan ini.

''Tiada alasan untuk mengetepikan dia. Dia adalah ketua pasukan.

"Ia merupakan hari yang malang dari segi disiplin, kerana kami boleh mengelakkan beberapa perangai buruk di atas padang, sekali gus mengelakkan dua pemain dibuang padang. Ballack ternyata melakukan kesilapan," kata Ancelotti.

Penjaga gol skuad Blues, Hilario turut melakukan kesilapan selepas menggantikan penjaga gol utama, Petr Cech dan Ancelotti mengharapkan penjaga gol utamanya itu, akan sembuh secepat mungkin daripada kecederaan betisnya.

"Beberapa pemain kami cedera dan kami harus berusaha serta membiarkan mereka sembuh dengan baik. Kami harap Cech akan kembali dalam masa empat minggu ini," tambahnya.

Sementara itu, pengurus City, Roberto Mancini, mengakui gembira dengan corak permainan yang ditunjukkan Bridge, selepas dia dilihat mencuba beberapa minggu ini, sekali gus membantunya yang telah menarik diri dalam skuad kebangsaan baru-baru ini.

"Saya gembira dengan Wayne Bridge. Dia menunjukkan prestasi yang baik dan bermain dengan bagus.

"Saya berharap Wayne Bridge boleh bermain dalam pasukan kebangsaan. Saya sedih dengan situasi itu kerana setiap pemain mahu bermain untuk negaranya.

"Namun, itu keputusannya dan saya tidak tahu kenapa dia tidak ingin mengubah fikirannya," kata Mancini. - AFP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...