Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, February 6, 2010

NS perlu menang di tempat sendiri (Berita Harian)

Oleh Mohd Amin Jalil

SELEPAS menyekat penguasaan Johor FC pada perlawanan pertama di tempat lawan, Negeri Sembilan tidak rela reputasinya tercalar pada perlawanan timbal balik pusingan pertama saingan Piala FA, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.

Justeru jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan, mengingatkan pemain supaya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada cabaran itu dengan memastikan kelebihan beraksi di tempat sendiri tidak disia-siakan.

Katanya, selepas terikat 2-2 dalam perlawanan lalu, kemenangan ke atas Johor FC amat penting kerana ia menentukan hidup mati pasukan dalam saingan kalah mati itu dan kegagalan menyekat kemaraan lawan bakal menjejaskan reputasi selaku juara Piala Malaysia.

“Sehubungan itu pemain harus berhati-hati dan berusaha mengekalkan persembahan terbaik dengan memanfaatkan setiap peluang bagi menjamin kemenangan.


“Pemain harus sedar kedudukan pasukan ketika ini belum menjamin untuk melangkah ke pusingan seterusnya kecuali kemenangan malam esok (ini). Oleh itu mereka tiada pilihan kecuali memastikan kelebihan beraksi di halaman sendiri dimanfaatkan sepenuhnya," katanya semalam.

Jurulatih berpengalaman itu berkata, tidak banyak perubahan yang akan dilakukan dalam kesebelasan utama nanti kecuali barisan depan yang mungkin sekali lagi bersandarkan kepada gandingan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dan Mohd Firdaus Azizul.

Menurutnya, rekod cemerlang laman sendiri dalam dua perlawanan Liga Super sebelum ini harus dikekalkan dan dengan sokongan padu penyokong setia, Negeri Sembilan tiada alasan untuk tergelincir daripada landasan kemenangan.


“Perlawanan ini ibarat hidup mati pasukan dan setiap pemain harus memberikan sepenuh perhatian untuk memastikan langkah ke pusingan saingan berikutnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...