Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 31, 2010

Liga Super 2010 : 30/01/2010 (Utusan Malaysia)

Liga Super 2010 : 30/01/2010

Perlis 1 vs Selangor 1
Terengganu 2 vs Kuala Lumpur 1
Kedah 3 vs T-Team 1
Kelantan 3 vs Pulau Pinang 1
Johor FC 3 vs Perak 0
Pahang 2 vs KL Plus 1
________________________________

PENYERANG Perlis, Syazwan Zainol (kanan) cuba melepasi pemain Selangor, Mohd. Razman Roslan pada perlawanan Liga Super di Stadium Utama Negeri, Kangar, semalam. Perlawanan berkesudahan 1-1. - Mingguan/Faizal Abu Hassan


KUALA LUMPUR - Safiq Rahim muncul penyelamat Selangor untuk terus menjarakkan diri sebagai peneraju carta persaingan bola sepak Liga Super musim 2010 dengan jaringan penyamaannya yang mengikat Perlis 1-1, semalam.

Golnya menerusi sepakan percuma sejauh 25 meter pada minit ke-39, melegakan dan membawa juara bertahan itu memiliki kelebihan dua mata liga berbanding Terengganu yang cuba menyaingi di tangga kedua dengan menewaskan Kuala Lumpur 2-1.

Selangor bagaimanapun ketinggalan dengan tandukan masuk Ahmad Fakri Saarani di Stadium Utama Negeri, Kangar yang menyudahkan umpanan Azrul Ahmad dan Amar Rohidan pada minit ke-10.

Terengganu pula bangkit dengan kemenangan keempat liga di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu menerusi jaringan sepakan bebas Zairo Anuar Zalani dan tandukan Ashaari Shamsudin pada minit kedua dan 90.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pula memastikan mereka turut mengekori di tangga ketiga setelah menumpaskan T-Team 3-1 hasil dua jaringan Azlan Ismail (minit ke-25 dan 58) selain Faizal Abu Bakar (16).

Kelab pelawat dari Kuala Terengganu itu bagaimanapun beroleh gol sagu hati menerusi Norhisham Hassan, sembilan minit sebelum tamat permainan.

Kegagalan Singa Utara meraih mata penuh di Kangar turut membuka ruang buat Kelantan memintasnya ke tangga keempat setelah mengatasi Pulau Pinang 3-1 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

Sekalipun ketinggalan dengan gol V. Jaganathan pada minit ke-13, tuan rumah tetap menggenggam tiga mata hasil jaringan hatrik penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-46, 50 dan sepakan penalti (88).

Dua lagi pasukan, Johor FC dan Pahang turut memperbaiki kedudukan masing-masing untuk menyertai kumpulan lapan teratas liga dengan mengutip mata penuh di Stadium Perak, Ipoh dan Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Anak buah Ramlan Rashid menjinakkan Perak 3-0 hasil jaringan Khairul Ismail, Zulhisham Jamaluddin dan Eddy Helmi Manan pada minit ke-41, 60 dan 88 sementara Azamuddin Akil dan Shahrizan Salleh membawa Pahang mengatasi KL PLUS 2-1.

Kelab dari Lembah Klang bimbingan Mat Zan Mat Aris itu cuba mencuri satu mata empat minit sebelum tamat menerusi gol penyamaan Mohd. Lot Abu Hassan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...