Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, August 11, 2014

Malaysia Kalah 1-4 Kepada Tajikistan Pada Aksi Persahabatan Antarabangsa


KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Skuad Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh nyata bukan tandingan Tajikistan selepas kalah 1-4 pada aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Central, Dushanbe, Tajikistan pada Jumaat.

Majibur muncul wira pasukan yang berada pada ranking ke-124 dunia itu selepas meledak empat jaringan, masing-masing pada minit ke-15, 35', 51' dan 53'.

Penyerang pasukan Johor Darul Ta'zim Mohd Amri Yahyah menjaringkan gol tunggal untuk skuad kebangsaan menerusi sepakan penalti pada penghujung separuh masa pertama perlawanan.

Ia merupakan tugasan antarabangsa pertama Dollah sejak dilantik pengendali baharu skuad Harimau Malaya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 9 Julai lepas.

Beliau menggantikan Datuk K. Rajagobal yang tidak disambung kontrak oleh FAM selepas gagal membawa Malaysia meraih slot ke pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Asia 2015 di Australia.

Malaysia dijangka menentang Jordan pada aksi persahabatan seterusnya, 11 Okt ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perlawanan persahabatan itu antara persiapan skuad Harimau Malaya dalam menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 yang dijadual berlangsung di Singapura dan Vietnam dari 22 Nov hingga 20 Dis ini.

Skuad Harimau Malaya berdepan laluan sukar pada kejohanan bola sepak membabitkan negara rantau Asia Tenggara itu selepas diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Singapura, juara tiga kali Thailand dan pemenang pusingan kelayakan.

Pusingan kelayakan Piala AFF Suzuki akan berlangsung di Laos dari 12 hingga 20 Okt ini membabitkan empat negara iaitu Myanmar, Brunei, Timor Leste dan Kemboja bagi merebut dua slot terakhir kejohanan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...