Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, July 8, 2012

Kedah Harap Khyril Muhymeen Bantu Pasukan Berada Pada Kedudukan Selamat

Foto - Sinar Harian

ALOR SETAR, 8 Julai (Bernama) -- Kedah mengharapkan kehadiran penyerangnya, Mohd Khyril Muhymeen Zambri dalam baki dua perlawanan Liga Super untuk membantu pasukan itu berada pada kedudukan selamat daripada zon penyingkiran.

Penolong Jurulatih Kedah Radzi Md Din berkata ketiadaan Khyril Muhymeen yang digantung perlawanan menyebabkan strategi Kedah untuk memburu tiga mata penuh menentang Negeri Sembilam malam tadi tidak menjadi.

"Saya akui kekurangan pemain berpengalaman menjejaskan rentak permainan pada malam ini (tadi). Pemain bermain dengan baik tetapi gagal manfaatkan peluang untuk jaringkan gol.

"Kehadiran Muhymeen pada dua perlawaman terakhir ini menjadi penentu sama ada kita kekal di Liga Super atau menyertai Liga Perdana musim depan... Saya tetap akur dengan perkara itu," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Negeri Sembilan di Stadium Darul Aman di sini, malam tadi.

Beberapa pemain utama Kedah mengalami kecederaan iaitu Amar Rohidan, Vedran Gerc dan V. Thirumuguran, yang mungkin tidak dapat beraksi dalam baki dua perlawanan menentang Perak dan Felda United pada Selasa dan Sabtu ini.

Perlawanan menentang Negeri Sembilan malam tadi menyaksikan tuan rumah tewas di tangan skuad bimbingan Azrai Khor Abdullah 0-2 menerusi jaringan pemain importnya Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-42.

Pada minit ke-82 S.Kunalan menjaringkan gol kedua pelawat ketika Kedah bermain dengan 10 pemain setelah Mohd Faizal Abu Bakar dibuang padang.

Kedah yang dibarisi pemain muda yang kurang pengalaman gagal untuk menghasilkan gol walaupun mempunyai peluang terhidang dalam kotak penalti Negeri Sembilan.

Jurulatih Negeri Sembilan Azrai Khor Abdullah berkata setelah kecundang 2-3 kepada Kelantan Selasa lepas, anak buahnya kembali bangkit mengutip tiga mata penuh di tempat lawan.

Katanya dengan baki dua perlawanan menentang Kuala Lumpur dan Sabah, beliau berharap dapat memperbaiki kedudukan kerana musim ini pasukan itu mensasarkan tempat lima terbaik.

Beliau berkata bertemu pasukan kedua tercorot liga tidak mudah kerana bimbang akan berlaku satu kejutan yang boleh memusnahkan harapan mereka untuk mendapatkan tiga mata penuh.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perasaannya melihat bekas pasukannya, Kedah yang kian merosot, Azrai Khor berkata beliau sedih dan simpati dengan prestasi Kedah yang berada pada kedudukan ke-12 liga.

Bekas jurulatih Kedah yang pernah melakar kejayaan bersama Kedah memenangi tiga piala dalam semusim iaitu Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA pada 2007 dan 2008 berkata beliau hanya mampu berdoa agar pasukan tersebut tidak kecundang ke Liga Perdana musim depan.

Kedah yang menduduki tangga ke-12 daripada 14 pasukan dengan 25 mata di belakang berpeluang untuk kekal berada dalam Liga Super jika Felda United di tempat ke-11 yang memiliki 29 mata tewas kepada Kelantan Selasa ini dan Kedah, Sabtu ini.

Jika Felda tewas dalam baki dua perlawanan Kedah dapat memintas kedudukan Felda United pada tangga ke-11 dan sekaligus terus kekal bersaing dalam Liga Super musim depan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...