Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, February 19, 2012

Kelantan mara, NS tersingkir


PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha terjatuh akibat diasak pemain pertahanan Sarawak dalam perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Mohammad IV , Kota Bharu semalam.


KUALA LUMPUR - Pemain gantian, Farhan Muhammed muncul penyelamat Kelantan, apabila jaringannya pada masa kecederaan membawa juara Liga Super itu ke pusingan kedua Piala FA selepas bangkit menumpaskan Sarawak 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam.

Penyandang juara, Terengganu dan juara lima kali, Selangor juga mara menerusi kemenangan selesa 4-0 ke atas lawan masing-masing, manakala T-Team turut layak dengan menundukkan Johor 2-0.

Dalam saingan di Kota Bharu, Kelantan nyaris diheret ke masa tambahan apabila terikat 1-1 selepas 90 minit perlawanan, malah dikejutkan dengan gol pembukaan pelawat pada minit ke-20 menerusi Azizan Baba, sebelum Indra Putra Mahyudin menyamakan kedudukan di minit ke-33.

Begitupun Farhan yang dibawa masuk pada babak kedua, meledakkan gol kemenangan seminit selepas saingan memasuki masa kecederaan, sekali gus membawa Kelantan menempah pertemuan dengan Kuala Lumpur, yang menumpaskan Majlis Perbandaran Muar 3-0 di Stadium Hang Jebat.

Di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Selangor nyata bukan tandingan Shahzan Muda apabila dua jaringan Safiq Rahim (minit ke-66, 74), penyerang import, Basko Balaban (25) dan gol ke-100 ketua pasukan, Amri Yahya pada minit ke-82 membantu mereka menang besar 4-0.

Selangor akan menentang Johor FC, yang mengejutkan Negeri Sembilan dengan menumpaskan skuad Hobin Jang Hobin 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Kedua-dua jaringan pelawat menerusi Arthuro Bernhat pada minit ke-24 dan 79, manakala gol tuan rumah dijaringkan Jean Emmanuel Effa Owana minit ke-29.

Terengganu pula mengesahkan pertemuan dengan Perak selepas membelasah PDRM 4-0 hasil dua jaringan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-37 dan 65, diikuti Abdul Hadi Yahya (9) dan Francis Doe pada minit ke-79.

Lions XII (Singapura) dan Preach Khan Reach dari Kemboja meneruskan saingan ke pusingan kedua.

Lions XII menjinakkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 3-0 di Stadium UiTM, Shah Alam untuk bertemu Betaria FC yang menumpaskan Melaka 4-0, manakala Preach Khan Reach menang tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk menempah pertemuan dengan Kuala Lumpur SPA yang menewaskan MBJB FC 3-0.

Di Stadium Utama, Kangar, Perlis selesa menumpaskan SDM Kepala Batas 3-0.


--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena