Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, February 20, 2012

Dendam Penyu membara

Oleh Siti Airunnisa Alaui

Pemain Terengganu, Abdul Hadi Yahya (kiri) mengawal bola sambil diasak pemain PDRM, Fauzi Abd. Majid pada perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGGANU - Misi penyandang juara Piala FA tahun lalu Terengganu untuk mempertahankan kejuaraan berada pada landasan terbaik selepas menang besar 4-0 ke atas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada perlawanan pembuka tirai di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, kelmarin.

Terengganu terus garang biarpun tanpa kelibat tiga tonggak utama, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi yang bersama skuad Olimpik manakala Faizal Muhammad ditepikan akibat kecederaan.

Pusingan kedua bakal menyaksikan Terengganu menentang Perak yang berjaya mengetepikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0.

Jurulatih skuad Penyu, Mat Zan Mat Aris mengakui, pertembungan skuad penyu dan seladang dianggap misi membalas dendam ekoran kekalahan kepada pasukan itu awal musim.

"Memang kita akan membalas dendam pada aksi itu nanti tambahan ia merupakan pertemuan kalah mati dan pastinya akan menjadi perlawanan yang sengit kerana masing-masing memburu kemenangan.

"Kita ada kira-kira dua minggu untuk membuat persediaan untuk perlawanan seterusnya dan saya yakin anak buah saya mampu beraksi dengan baik menentang Perak," katanya.

Pada pertemuan kelmarin, Terengganu lebih awal menemui sentuhan jaringan melalui ledakan Abdul Hadi Yahya seawal minit kesembilan memberikan kelebihan pada pasukan itu sebelum Abdul Manaf Mamat menambah jaringan pada minit ke-37 sehingga aksi separuh masa pertama tamat.

Benteng PDRM yang seolah-olah hilang arah pada separuh masa kedua, memberi kelebihan kepada skuad penyu apabila Abdul Manaf menambah koleksi golnya pada minit ke-65 sekali gus menyukarkan laluan PDRM menyaingi pasukan itu.

Percaturan Mat Zan mengeluarkan pemain import Francis Forkey Doe pada separuh masa kedua membuahkan hasil apabila penyerang yang pernah beraksi bersama kelab Al-Ahly dan New York Red Bulls itu berjaya menyumbang gol keempat Terengganu sehingga tamat aksi 90 minit.

Dalam pada itu, Mat Zan yang pernah membantu Terengganu muncul juara Piala Malaysia pada tahun 2001 mengakui perlawanan menentang PDRM memberi tekanan kepada pasukannya ekoran keputusan tidak memberangsangkan pada tiga perlawanan lalu.

Bagaimanapun, jurulatih itu melihat tanda positif pada anak didiknya yang bekerja keras mencipta ruang sehingga menjaringkan empat gol.

"Memang pada masa pertama kita sedikit ghairah menyebabkan pemain sering kehilangan posisi, namun babak separuh masa kedua pemain dilihat lebih berdisiplin dan pergerakan bola juga lancar. Kita harap momentum itu dapat dikekalkan pada aksi menentang Perak nanti," katanya.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena