Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, July 7, 2011

Kelantan juara baru Liga Super

KOTA KINABALU – Kelantan menamatkan penantian sejak tiga tahun lalu untuk mengecapi kejuaraan Liga Super buat pertama kali apabila mengalahkan Sabah 2-1 dalam perlawanan terakhir liga di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi.

Kemenangan malam tadi mengesahkan The Red Warriors selaku pasukan keenam bergelar juara sejak ianya dipertandingkan lapan tahun lalu dan bakal membawa pulang wang tunai RM500,000. Selaku bergelar juara, Kelantan secara automatik menempah tiket layak beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun depan.

Sementara itu, juara baru Piala FA, Terengganu muncul selaku naib juara setelah berpesta gol mengalahkan KL Felda United FC 6-2 dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung Stadium Majlis MPBJ, Kelana Jaya.

Rentak cemerlang Kelantan bermula seawal minit kedua perlawanan menerusi rembatan jarak dekat Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi terus ke dakapan penjaga gol Sabah, Azizon Abdul Kadir hasil hantaran lintang Mohd Izuan Salahuddin sebelum itu.

Tiga minit kemudian, Norshahrul Idlan Talaha menceriakan hampir 1,000 penyokong The Red Warriors apabila mudah menolak masuk untuk gol pertama Kelantan. Berpunca lontaran ke dalam Mohd Daudsu Jamaluddin, kesilapan pemain pertahanan tuan rumah gagal mengeluarkan bola dihukum menerusi rembatan mudah untuk menewaskan Azizon dipintu golnya.

Dua minit kemudian, kemaraan Kelantan untuk menambahkan jaringan tidak terhenti disitu apabila Muhd Bahri sekali lagi mempunyai peluang terbaik namun rembatan kencang jarak 25 meter sedikit melewati pintu gol Sabah.

Sabah yang turun dengan misi bermaruah untuk mencipta kemenangan turut mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan pada m-15 perlawanan. Berpunca serangan balas pantas, rembatan kencang Shahrul Azhar Ture dikeluarkan benteng pertahanan Kelantan sementara tandukan susulan penyerang veterannya, Zainizam Marjan terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Tujuh minit berselang, Shahrul Azhar sekali lagi mensia-siakan peluang terbaiknya untuk menyamakan kedudukan apabila rembatan kencangnya sekadar menerjah jaring sebelah kiri pintu gol Kelantan.

Malah, dua minit kemudian Shahrul Azhar sekali lagi terlepas peluang apabila gagal menolak masuk hantaran lintang Julamri Muhammad biarpun tidak dikawal benteng pertahanan Kelantan sebelum itu.

Tidak hanya berpuashati dengan satu gol, Kelantan terus melipat ganda asakan menyerang ke pintu gol Sabah namun rembatan kencang Muhd Badhri pada m-35 sedikit melewati pintu gol sementara percubaan Mohd Daudsu Jamaluddin pada m-44 juga hanya beberapa meter melepasi pintu gol.

Minit-minit akhir babak pertama, salah faham diantara Rosdin Wasli dengan Azizon didepan pintu golnya hampir membawa padah kepada pasukannya namun Norshahrul Idlan gagal memanfaatkan peluang tersebut.

Bersambung babak kedua, Sabah membuat percaturan dengan memasukkan Razlan Oto menggantikan Stanley Bernard Stephen Samuel bagi menguatkan jentera serangannya. Pada m-67, pintu gol Kelantan sekali lagi diuji apabila Julamri merembat kencang namun sempat ditepis keluar Khairul Fahmi.

Pada m-71, penyerang terbilang, Norshahrul Idlan terus mengukuhkan kedudukan 2-0 untuk Kelantan apabila sepakan lambungnya dari luar kotak penalti berjaya melepasi jangkauan Azizon dipintu golnya.

Namun, Sabah enam minit kembali merapatkan jurang apabila penyerangnya, Razlan Oto berjaya merembat masuk dari luar kotak penalti berpunca situasi kelam-kabut didepan pintu gol Kelantan sebelum itu.

Minit-minit akhir perlawanan, Norshahrul Idlan terlepas peluang untuk mencipta hatrik apabila rembatan kencangnya dalam kotak penalti dikuis keluar Azizon untuk menyaksikan keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.



Kesebelasan utama pemain:

SABAH: Azizon Abdul Kadir, Hariri Mohd Safii, Mohd Reithauddin Awang Emran (KP), Alto Linus, Mafry Balang (Rozaimi Abdul Rahman), Rosdin Wasli (Zuraindey Jumai), Radzi Md Hussin, Julamri Muhammad, Zainizam Marjan, Shahrul Azhar Ture dan Stanley Bernard Stephen Samuel (Razlan Oto).

FORMASI: 4-4-2



KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Shakir Shaari, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Izuan Salahuddin (Mohd Nizab Ayub), S Chanturu Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Mohamad Ab Aziz Ismail) dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI: 4-4-2

----- Sinar Harian Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena