Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, June 20, 2011

Malaysia pamer petanda positif

KEJAYAAN menumbangkan Myanmar 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin jelas satu petanda baik buat Malaysia bagi menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2014.

Tanpa kelibat beberapa tonggak utama terutama penggempur berbisa, Norshahrul Idlan Talaha, barisan pemain negara masih mampu menampilkan rentak cemerlang.

Maka tidak menghairankan apabila jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal mengamburkan pujian kepada anak-anak buahnya dilihat telah menunjukkan komitmen tinggi sepanjang perlawanan tersebut.

Biarpun beraksi di padang yang becak selain terpaksa berhadapan dengan corak agresif pihak lawan, Rajagobal berkata, barisan pemainnya cepat menyesuaikan diri dengan situasi tersebut.

"Sebelum perlawanan bermula, saya yakin mereka akan beraksi dengan baik. Hasilnya mereka telah beraksi dengan baik sepanjang perlawanan tersebut dan secara keseluruhannya, saya gembira dengan apa yang telah dibuktikan oleh para pemain.

"Saya akui perlawanan tersebut cukup penting buat saya untuk mencari kombinasi terbaik. Bukan senang buat saya untuk mencuba beberapa pemain baru yang hanya digandingkan dalam tempoh beberapa hari sahaja.

"Apa yang saya lihat pemain baru seperti Mohd. Farisham Ismail, Helmi Remeli dan Mohd. Shakir (Shaari) telah beraksi dengan baik," kata Rajagobal ketika sidang media sejurus tamat perlawanan tersebut.

Dalam masa yang sama, Rajagobal melahirkan kegusaran apabila tonggak pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak mengalami kecederaan serius selepas bertembung dengan pemain Myanmar pada perlawanan tersebut.

"Kecedearaan yang dialami oleh Aidil agak serius. Kita sememangnya memerlukan pemain pengalaman seperti dia.

"Begitupun, saya mempunyai banyak pilihan kerana beberapa pemain (skuad) Olimpik dan Mohd. Safee (Sali) bakal kembali perkuatkan skuad kita selepas ini," katanya.

Bagi jurulatih Myanmar, Milan Zibadinovic, dia menganggap faktor pengalaman menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

"Malaysia berhak memenangi perlawanan ini kerana mereka beraksi dengan baik. Tahniah kepada kedua-dua pasukan kerana beraksi dengan baik, namun Malaysia sebenarnya bermain lebih baik daripada kami.

"Kekalahan ini merupakan sesuatu pengalaman berguna bagi pemain-pemain muda pasukan saya. Kami akan bangkit dan anda akan lihat dalam tempoh enam bulan lagi kami akan tampil lebih garang.

"Kami tetap mahu menang apabila bertemu Mongolia (dalam Kelayakan Piala Dunia 2014) penghujung bulan ini," katanya.

Dalam Kelayakan Piala Dunia 2014, Malaysia akan bertemu Taiwan pada pusingan pertama, 29 Jun ini di Kuala Lumpur sebelum bertandang ke gelanggang lawan pada 3 Julai.

----- Kosmo Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena