Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, June 14, 2011

Karathu tuntut kebangkitan


KOTA BHARU – “Lupakan kekalahan lalu, bangkit cipta kemenangan malam ini”. Begitulah pesanan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu kepada pemainnya menjelang pertemuan sengit menentang Perak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

“Selepas kekalahan kepada Terengganu, saya akui moral pemain sangat rendah. Satu cara sahaja kita perlu lakukan, ialah melupakan kekalahan tersebut kerana kita masih ada dua piala lagi yang perlu dikejar.

“Piala Liga Super terlalu dekat dengan kita. Jadi kita harus merebut peluang tersebut. Pertemuan menentang Perak malam esok (ini) harus menjadi titik tolak bagi kita memburu kejuaraan. Saya percaya, pemain saya tidak mahu kecewa dan mereka bersedia bangkit dalam perlawanan ini.

“Hari ini, semua pemain duduk bersama dan berkongsi rasa dengan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa. Ini merupakan satu motivasi yang cukup bagus untuk pemain dan mereka menyedari mereka semua sudah terlalu hampir dengan kejuaraan,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengendalikan sesi latihan skuad Kelantan, petang semalam.

Dalam pada itu, Karathu turut menepis tanggapan faktor kegagalan beliau merencanakan taktikal yang berkesan, menjadi punca di sebalik kekalahan pasukannya kepada Terengganu dalam perlawanan akhir Piala FA tempoh hari.

Sementara itu penjaring terbanyak Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha mahu rakan sepasukannya yang lain, melupakan kekalahan tersebut sebaliknya memberi fokus sepanjang aksi 90 minit menentang Perak malam ini.

“Saya akui moral para pemain merudum selepas kekalahan itu, namun saya berharap latihan petang ini mampu menyuntik kembali semangat berpasukan apabila kita bertemu Perak malam esok (ini).

“Yang penting kita menang perlawanan ini dan mengutip tiga mata di hadapan penyokong sendiri. Semuanya bergantung kepada strategi jurulatih, memang saya akui pergerakan saya cukup terbatas dalam perlawanan akhir lalu, namun saya berharap situasi tersebut tidak berulang malam esok (ini).

“Saya mengharap sokongan daripada rakan sepasukan yang lain. Kita harus berikan lebih seratus peratus dalam perlawanan ini sekiranya mahu menang,” katanya.

Sementara itu, Norshahrul Idlan turut menanamkan tekad menjaringkan gol bagi menyempurnakan misi peribadinya bagi memburu anugerah Kasut Emas musim ini.

----- Sinar Harian Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...