Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, May 31, 2011

Puas walau menang tipis

Sumber: Sinar Harian Online

KOTA BHARU - Tiga mata penting yang diraih ketika mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang memberi kelegaan buat pengendali pasukan Kelantan, Datuk M Karathu dalam mencongak untung nasib pasukannya memburu kejuaraan liga setelah hanya mampu meraih satu mata dalam dua perlawanan lalu.

Karathu berkata, kemenangan tersebut membuka ruang kepada Kelantan kembali bersaing bersama Terengganu dan Selangor dalam memburu kejuaraan ketika saingan liga semakin menghampiri penamatnya.

“Saya gembira walaupun sekadar menang tipis.

“Walau kita mempunyai sekurang-kurangnya lima peluang terbaik termasuk sepakan penalti, yang penting kita mengutip tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

Beliau berkata, seperti yang dikatakannya sebaik tewas kepada T-Team tempoh hari, pasukan Kelantan masih mempunyai baki empat perlawanan dan dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku.

“Kita menang di sini 1-0 (ke atas Pahang) tetapi Terengganu tewas 0-1 kepada Kedah, jadi saingan masih terbuka bagi kedua-dua pasukan.

“Pada separuh masa kedua, saya akui tekanan berpihak kepada kita biarpun sedang mendahului ketika itu. Kita mencipta banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol.

“Pahang pula sentiasa memberi tentangan sengit kerana mereka menyedari mereka juga berpeluang untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai persembahan keseluruhan anak buahnya dalam perlawanan itu, Karathu ternyata kurang berpuas hati dengan aksi tidak konsisten pemainnya sambil mengakui faktor beraksi 10 perlawanan dalam tempoh 28 hari sememangnya menjejaskan prestasi pasukan Kelantan.

“Saya terpaksa membuat pertukaran dua atau tiga pemain bagi mempertahankan defisit satu gol yang dimiliki. Inilah masalahnya apabila pemain kita melalui sindrom keletihan yang berpanjangan.

“Mereka hilang keyakinan setiap kali berada di depan pintu gol, malah sepakan penalti juga tidak menepati sasaran. Kita sebenarnya berhadapan dengan tekanan, kehilangan tenaga dan segala-galanya.

“Saya fikir tempoh rehat selama 10 hari perlu diisi dengan perancangan untuk meningkatkan kembali mental pemain. Dengan berbaki tiga perlawanan, kita masih berpeluang memenangi kejuaraan liga dengan syarat memenangi kesemua perlawanan itu ,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...