Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, May 23, 2011

Mat Yo penyelamat Kelantan (Berita Harian Online)

Oleh Ahmad Fiesal Othman dan Asrol Awang

2011/05/23

Red Warriors kekal dahului liga selepas Selangor tewas di Kuantan


PENYERANG prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha tampil menjadi penyelamat pasukan apabila jaringannya tiga minit sebelum tamat perlawanan membantu Kelantan pulang berbekal satu mata berharga selepas seri 2-2 dengan Harimau Muda A dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Keputusan ini membolehkan Red Warriors terus kekal selaku pendahulu pada hari yang menyaksikan Selangor gagal menghambat pencabar mereka itu selepas tersentak tewas kepada Pahang 2-1 di Kuantan. Lebih perit, anak didik K Devan tertekan apabila finalis Piala FA, Terengganu yang menang 3-0 ke atas Negeri Sembilan di halaman sendiri melonjak memintas mereka di tangga kedua - berkongsi himpunan 44 mata bersama Kelantan tetapi dipisahkan di atas perbezaan empat gol.

Dibantu sorakan padu kira-kira 10,000 penyokongnya, keghairahan Kelantan mencari kemenangan terserlah dari awal apabila terus mengasak Harimau Muda A sebaik wisel dibunyikan.

Namun, mereka tersentak dengan gol pembukaan pada minit ke-14 oleh Harimau Muda A menerusi Izzaq Faris Ramlan sebelum Kelantan bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan S Chanturu pada minit ke-32.

Izzaq Faris ternyata menjadi duri dalam daging kepada Kelantan apabila sekali lagi berjaya menewaskan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-69, dan usaha Kelantan untuk menyelamatkan mata berhasil apabila Norshahrul atau Mat Yo tampil gah menyamakan kedudukan tiga minit sebelum tamat saingan.
Di Stadium Darulmakmur, Azamudin Mohd Akil yang bertindak selaku penyerang akibat kecederaan R Surendran dan Mohd Faizol Hussain memastikan tuan rumah mendahului 1-0 yang kekal hingga separuh masa tamat.

Ketinggalan 1-0 menyaksikan Selangor bangkit mengasak di babak kedua tetapi gawang mereka dikawal Mohd Iqbal Suhaimi robek lagi, kali ini menerusi Mohd Munir Amran pada minit ke-80.

Bagaimanapun, anak buah Devan mendapat gol sagu hati menerusi sepakan percuma R Surendran pada minit terakhir permainan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena