Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, May 24, 2011

Karathu kecewa kongsi mata (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU –“Saya kecewa’. Begitulah luahan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu setelah melihat anak buahnya dipaksa berkongsi mata setelah terikat seri 2-2 dengan Harimau Muda ‘A’ dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam semalam.

Karathu ketika dihubungi berkata, beliau tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya tatkala melihat barisan pemainnya mensia-siakan peluang terbaik untuk meraih kemenangan seterusnya menjarakkan kedudukan dalam carta liga ketika ini.

“Seri lebih baik daripada kalah, namun dalam perlawanan sebegini kita hanya mendapat satu mata tetapi kehilangan dua mata. Saya sedih dan kecewa kerana kehilangan mata dalam perlawanan ini.

“Memang Harimau Muda A menunjukkan persembahan bagus dengan mempamerkan serangan balas pantas dan tempo permainan mereka juga begitu laju. Namun itu tidak bererti kita tidak mampu menyaingi corak permainan mereka. Saya tidak nampak mengapa kita harus mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan ini.

“Saya fikir sekiranya dua peluang terbaik yang diperoleh menerusi Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) dimanfaatkan sepenuhnya, sudah pasti keputusan perlawanan akan berubah. Namun itu tidak berlaku dan inilah hasilnya (keputusan seri),” katanya.

Menurutnya, kegagalan pemainnya memanfaatkan peluang dan ditambah aksi tidak konsisten menjadi punca mengapa Kelantan hanya mampu mencuri satu mata dalam perlawanan malam semalam.

“Dalam bola sepak, anda tidak boleh mengharapkan sepuluh peluang datang kepada kita. Kadang-kala kita hanya mempunyai dua peluang dan kita harus memanfaatkan kedua-dua peluang tersebut.

“Itulah masalah kita. Kita tidak boleh bergantung kepada seseorang penyerang sahaja untuk menjaringkan gol. Sukar untuk kita mencapai kemenangan kalau kita masih mengharapkan perkara seperti itu.

“Saya tidak gembira dengan keputusan ini. Keputusan ini menyukarkan kita untuk menjarakkan kedudukan daripada pencabar terdekat. Dengan berbaki lima perlawanan, kita tidak ada pilihan selain perlu menang kesemua perlawanan itu,” katanya.

Dalam aksi pertemuan menentang Harimau Muda A malam semalam, Kelantan terselamat daripada menerima kekalahan apabila bangkit menyamakan kedudukan setelah dua kali ketinggalan. Gol penyamaan empat minit sebelum perlawanan berakhir menyelamatkan maruah Kelantan daripada diaibkan Harimau Muda A.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...