Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, March 3, 2011

United kalah angkara pengadil (Kosmo Online)


LAMPARD (kiri) meledakkan gol kemenangan Chelsea ke atas Manchester United pada aksi Liga Perdana England di Stamford Bridge awal pagi semalam.


LONDON - Frank Lampard muncul wira Chelsea apabila meledak gol kemenangan 2-1 ke atas Manchester United pada aksi Liga Perdana England di Stamford Bridge awal pagi semalam.

Begitupun, gol yang dijaringkan pemain tengah skuad The Blues itu mengundang kontroversi apabila ia diperoleh menerusi sepakan penalti pada minit ke-79.

Pengadil perlawanan, Martin Atkinson menghadiahkan sepakan penalti itu selepas tonggak pertahanan United, Chris Smalling menjatuhkan Yuri Zhirkov dalam kotak penalti.

Terdahulu, skuad The Red Devils berjaya membuka jaringan menerusi penyerang England, Wayne Rooney pada minit ke-29 sebelum tonggak pertahanan Chelsea, David Luiz menyamakan kedudukan (ke-54).

Kemenangan yang dilakar Chelsea itu turut membuka pintu buat kelab-kelab teratas liga bersaing bagi memburu trofi kejuaraan musim ini.

Begitupun, pengurus United, Alex Ferguson tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa dengan beberapa keputusan pengadil yang dianggap tidak tepat.

Ia termasuk keputusan Atkinson menghadiahkan sepakan penalti kepada Chelsea dan tidak melayangkan kad merah kepada Luiz yang melakukan terjahan keras.

"Kami (United) gagal bertahan dengan baik ketika melepaskan gol pertama buat Chelsea. Ia memang tidak sepatutnya berlaku tetapi sepakan penalti yang diberikan pengadil kepada mereka memang satu keputusan yang tidak boleh diterima.

"Sudah tiga tahun berturut-turut keputusan pengadil mengubah situasi perlawanan di sini (Stamford Bridge). Ia memang luar biasa.

"Luiz telah melakukan kekasaran ke atas (Javier) Hernandez dan tidak ada apa-apa tindakan yang dikenakan ke atas pemain itu. Bukan itu sahaja, dia juga melakukan perkara yang sama ke atas Rooney.

"Sekiranya kamu bercakap mengenai apa yang mengubah situasi perlawanan pada babak kedua, ia adalah disebabkan keputusan pengadil yang sepatutnya tidak berlaku," jelas Ferguson.

Sementara itu, pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti mengakui pertemuan menentang United itu bukan satu tugas yang mudah buat anak-anak buahnya.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar buat kami (Chelsea) apabila menentang sebuah kelab hebat seperti United yang mempamerkan kualiti begitu tinggi dalam corak permainan mereka.

"Kami sukar untuk mendekati pemain-pemain mereka tetapi pada babak kedua perlawanan, kami beraksi dengan lebih baik kerana kami memberi tekanan kepada mereka dan beraksi dengan lebih agresif," kata Ancelotti. - AFP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...