Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, March 16, 2011

Red Warriors mahu bangkit semula (Utusan Malaysia Online)


PAHANG akhirnya meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan apabila menundukkan skuad bimbingan M. Karathu 2-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan Sabtu lalu.


KOTA BHARU – Selepas tumbang 0-2 kepada Pahang Sabtu lalu, pendahulu Liga Super, Kelantan tidak mempunyai pilihan kecuali menang apabila melayan kunjungan Felda United pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu hari ini.

Pertembungan tersebut bukan sahaja bertujuan mencari kemenangan, tetapi juga untuk membangkitkan semula moral pasukan selepas kalah kepada pasukan pertengahan Liga Super, Pahang.

Selain mencari kemenangan, Kelantan harus memburu jaringan yang selesa sebagai bekalan untuk perlawanan kedua Jumaat ini, jika mahu meneruskan saingan dalam Piala FA.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu berkata, beliau tidak akan mengambil mudah perlawanan hari ini, dengan matlamat mempertahankan rekod tanpa kalah di tempat sendiri.

Menurutnya, kekalahan kepada Pahang tempoh hari akan dijadikan pengajaran untuk pasukannya tampil lebih bersedia dalam perlawanan seterusnya.

“Saya mahu pemain bangkit dengan semangat baru dan melupakan kekalahan kepada Pahang. Pemain harus kembali fokus dalam saingan Piala FA esok. Kita tiada pilihan selain menang ke atas Felda United.

“Kemenangan pada aksi pertama cukup penting buat kita dan saya mahu pemain mencari bekalan gol sebanyak mungkin sebagai bekalan selesa sebelum perlawanan kedua,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambahnya, kemenangan yang dicari hari ini mampu memberi kelebihan buat pasukannya untuk mara ke pusingan seterusnya.

Bekas jurulatih Perak itu memberitahu, beliau turut mengingatkan barisan pemain supaya tidak mengambil mudah perlawanan tersebut.

“Felda sebuah pasukan yang kuat, jadi kami kena berhati-hati dengan corak permainan mereka. Mereka mempunyai ramai pemain yang berpengalaman dan kemenangan 2-0 ke atas Perlis tempoh hari menyemarakkan semangat mereka.

“Mahu tak mahu pemain kena bersedia dengan perlawanan ini,” katanya, yang kehilangan khidmat Zairol Fitree Ishak kerana mengumpul dua kad kuning.

Tambah Karathu, untuk perlawanan hari ini beliau sudah mengenal pasti kelemahan pasukannya, selepas tewas kepada Pahang.

“Saya akan memperbaiki kelemahan tersebut dan saya mahu pemain yang diturunkan memberi komitmen sepenuhnya pada perlawanan tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...