Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, March 12, 2011

Ong Mohon FAM Tunda Perlawanan Liga Super Jun Ini Untuk Persiapan Olimpik

11 Mac, 2011 19:10 PM

SEPANG, 11 Mac (Bernama) -- Jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee, meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menunda beberapa perlawanan Liga Super pada Jun ini bagi memberi masa yang cukup untuk membuat persiapan menghadapi pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012.

Katanya tarikh perlawanan terbabit ialah pada 14, 18 dan 21 Jun ini.

"Dalam tempoh itu, kemungkinan latihan pusat akan diadakan di luar negara," katanya kepada pemberita selepas tiba dari Lahore, Pakistan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pada Jumaat.

Ong berkata pasukan lawan pada pusingan kedua kalah-mati itu akan ditentukan melalui undian pada 30 Mac ini di Rumah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil, di sini.

Katanya perlawanan pusingan kedua akan berlangsung pada 19 dan 23 Jun ini.

Malaysia mara ke pusingan kedua kelayakan Olimpik dengan agregat 2-0 selepas seri tanpa jaringan menentang Pakistan di Stadium Punjab, Lahore, Rabu lalu.

Pada 23 Feb lepas, skuad anak buah Ong Kim Swee menewaskan Pakistan 2-0 pada perlawanan pertama, pusingan pertama di Stadium Shah Alam.

Mengikut format pusingan kedua kelayakan zon Asia, 13 negara terbaik Asia akan beraksi bersama 11 negara yang menang dari pusingan pertama dengan format timbal-balas pada 19 dan 23 Jun ini.

Sebanyak 12 pasukan yang menang kemudian akan dibahagikan kepada tiga kumpulan kelayakan dan perlawanan kumpulan kelayakan akan berlangsung dari 21 Sept 2011 hingga 14 Mac 2012.

Juara setiap kumpulan kelayakan akan mendapat tiket automatik ke temasya Sukan Olimpik London 2012 manakala naib juara dari ketiga-tiga kumpulan kelayakan itu akan saling bertemu untuk merebut satu lagi tiket play-off.

Pada kelayakan Sukan Olimpik Beijing 2008, Malaysia sekadar menduduki tempat ketiga di belakang Syria dan Jepun dalam saingan peringkat kumpulan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...