Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, March 16, 2011

Laluan sukar menanti Kelantan (Sinar Harian Online)



KOTA BHARU – Kelantan meniti laluan sukar untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir setelah sekadar seri 2-2 dengan KL Felda United FC dalam aksi perlawanan suku akhir pertama Kejohanan Piala FA yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV Kota Bharu, malam tadi.

Lapan kad kuning, masing-masing lima untuk Felda United FC dan tiga bagi Kelantan sambil insiden bantahan daripada pemain Kelantan terhadap keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti kepada pasukan pelawat pada penghujung babak perlawanan mewarnai aksi sepanjang 90 minit perlawanan yang disaksikan hampir 25,000 penyokong setia The Red Warriors.

Walau bagaimanapun, penentuan mutlak pasukan mana yang layak ke peringkat separuh akhir akan ditentukan apabila kedua-dua pasukan turun berentap sekali lagi dalam perlawanan suku akhir kedua yang berlangsung di gelanggang sama Sabtu ini.

Seawal minit kedua, Kelantan terlebih dahulu menguji pintu gol Felda United FC namun rembatan jarak jauh S Chanturu daripada luar kotak penalti sedikit tersasar sebelah kanan pintu gol.

Selang seminit kemudian, giliran pemain Felda United FC, Liew Kit Kong mencemaskan pintu gol Kelantan, namun rembatannya dari luar kotak penalti terus ke dakapan Khairul Fahmi Che Mat.

Pada m-20, Norshahrul Idlan Talaha mensia-siakan peluang terhidang untuk meletakkan Kelantan di depan. Hantaran pendek Muhd Badhri Radzi ditampan kemas olehnya dan sempat memperdayakan Ketua Pasukan Felda United, Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain sebelum melepaskan rembatan yang sedikit melewati palang gol.

Pada m-28, Felda United FC turut terlepas peluang untuk berada di depan apabila rembatan jarak dekat pemain sayapnya, Faderin Kadir dalam kotak penalti ditepis keluar Khairul Fahmi.

Walau bagaimanapun, Felda United FC terlebih dahulu ceria berada di depan pada m-31 perlawanan menerusi jaringan Muhammad Zamri Chin. Bermula serangan pantas, hantaran lintang pemain tengah, Mohd Badrul Azam Zamri mudah ditanduk Muhammad Zamri menewaskan Khairul Fahmi di pintu gol Kelantan.

Tiga minit kemudian, Norshahrul Idlan sekali lagi kempunan untuk menyamakan kedudukan untuk Kelantan apabila gagal merembat tepat ke gawang Felda United FC. Kesilapan Muhammad Kaironnisam Sahabudin yang gagal mengeluarkan bola dalam kawasan merbahaya pantas direbut Muhammad Khalid Jamlus yang kemudian melorongkan kepada Norshahrul Idlan namun rembatannya tinggi melepasi palang.

Namun, gol penyamaan yang dinanti-nantikan hadir pada minit-minit akhir babak pertama. Umpanan Norshahrul Idlan pantas disempurnakan Muhd Badhri menerusi rembatan kencang yang tepat menerjah jaring sebelah kanan pintu gol untuk menewaskan Mohd Hamsani Ahmad.

Babak kedua memperlihatkan penguasaan ketara pasukan Kelantan apabila Chanturu memulakan aksi agresif pada m-46 menerusi percubaan yang terus ke dakapan Mohd Hamsani manakala percubaan Mohd Nurul Azwan Roya dalam kotak penalti enam minit kemudian sedikit melewati palang.

Begitu pun, Felda United FC tetap memberi ancaman merbahaya apabila mempunyai dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol menerusi percubaan Faderin pada m-56, tetapi sedikit tersasar manakala rembatannya seminit selepas itu mudah dibaca Khairul Fahmi.

Pada m-61, Mohd Nurul Azwan sekali gagal menterjemahkan percubaannya dalam bentuk jaringan apabila rembatannya terus kedakapan Mohd Hamsani biarpun bijak memanfaatkan lorongan cantik daripada Norshahrul Idlan sebelum itu.

Pada m-69, Faderin sekali gagal untuk meletakkan Felda United FC berada dalam keadaan selesa apabila rembatan padunya hanya melintasi pintu gol Kelantan biarpun Khairul Fahmi sudah tertewas ketika itu.

Penyerang prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan kembali menggamatkan suasana di stadium apabila berjaya menjaringkan gol pada m-70 perlawanan. Berpunca hantaran pendek Muhd Badhri dalam kotak penalti, Norshahrul Idlan pantas melepaskan rembatan kencang menewaskan Mohd Hamsani untuk menghasilkan gol kedua pasukan Kelantan.

Tindakan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi mengasari Rames Lai Ban Huat dalam kotak penalti pada minit akhir perlawanan mengundang padah apabila dikesan penjaga garisan dalam perlawanan itu.

Pengadil perlawanan, Mohd Zamzaidi Katimin memberi sepakan penalti kepada pasukan pelawat biarpun cuba dibantah pemain Kelantan. Bekas pemain kebangsaan, Liew Kit Kong tenang merembat ke penjuru sebelah kiri untuk menghasilkan gol penyamaan bagi pasukannya.

1 comment:

  1. satdium kelantan baru..
    http://adsenseephoto.blogspot.com/2011/05/stadium-kelantan-baru.html

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...