Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, March 10, 2011

KFA mahu bedah siasat nasib Kenari (Harian Metro Online)

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) akan mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut yang melanda skuad Kenari hingga terpaksa merehatkan ketua jurulatih, Ahmad Yusof berkuatkuasa kelmarin berikutan prestasi merosot pasukan Hijau Kuning musim ini.

Presiden KFA, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pihaknya akan mengkaji daripada pelbagai sudut sehingga mengenal pasti punca utama prestasi pasukan Hijau Kuning merudum.

“Kami sedang susun strategi baru dan memulihkan semangat pemain. Kami tengok dulu keadaan, buat masa ini penolong jurulatih, Radhi Md Din memangku jawatan sebagai ketua jurulatih bagi satu tempoh yang akan ditetapkan.

“Buat masa ini, Radhi hanya ditugaskan sebagai pemangku jurulatih kerana dia tidak mempunyai lesen kejurulatihan.

“Macam orang sakit, kami perlu tengok sakit apa... barulah tahu apa penyakitnya. Sama juga dalam persatuan ini, kami perlu tengok dan kaji dulu apa yang berlaku,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan Ahmad sebagai ketua jurulatih selepas mendapat desakan penyokong supaya mengundur diri berikutan prestasi merudum pasukan itu dalam Liga Super 2011 selain tersingkir daripada saingan Piala FA.

Azizan berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk meminta Radhi mengambil lesen A bagi membolehkan beliau menjadi ketua jurulatih pasukan Kedah.

“Langkah itu penting bagi membolehkan Radhi menjadi jurulatih sepenuhnya. Dengan cara itu Kedah diharap dapat meningkatkan mutu permainan dan meredakan kekecewaan penyokong.

“Malah, langkah itu dianggap tepat memandangkan KFA tidak perlu bergantung kepada khidmat jurulatih lain untuk membimbing pasukan ini.

“Bagaimanapun, saya menyerahkan kepada Jawatankuasa Teknikal KFA untuk membuat keputusan itu,” katanya.

Beliau ketika ditanya mengenai desakan peminat Hijau Kuning itu yang turut meminta pengurus pasukan Kedah, Datuk Khazali Din meletak jawatan, Azizan berkata, ia tiada kena mengena dengan pengurusan tertinggi lain. “Jangan nak babitkan orang lain. Saya juga nak tunggu bila nak suruh Presiden KFA letak jawatan. Maka sebab itu, untuk beri keadilan kepada semua pihak, kami perlu kaji dulu dan kenal pasti baru kita buat keputusan bijak dan adil,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...