Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, March 7, 2011

Kelantan yakin benam Selangor (Sinar Harian Online)

KOTA BHARU - Berbekal tujuh pungutan mata di peringkat kumpulan selepas seri 1-1 semasa pertemuan dengan Perlis minggu lalu, skuad Piala Presiden Kelantan bersedia membenam lawan dari Selangor di Stadium Sultan Mohamed IV Kota Bharu, malam ini.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, mental dan fizikal kesemua pemainnya kini berada dalam situasi baik serta mampu untuk menghasilkan beberapa strategi serangan berkesan.

“Kekuatan fizikal pemain dikukuhkan lagi dengan tiada sebarang kecederaan menjanjikan aksi cemerlang untuk memperoleh kemenangan ke atas pihak lawan,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun beliau tetap mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada berdepan Selangor biarpun pasukan itu setakat ini belum lagi menang dalam empat perlawanan lalu.

Sebelum itu, skuad yang diberi jolokan ‘Presiden Warrior’ menang 4-2 pada perlawanan persahabatan menentang Tok Janggut FC Pasir Puteh, kelmarin.

“Melihat aksi sepanjang perlawanan sehingga semalam, saya berpuas hati dengan prestasi mereka, walau bagaimanapun, kekuatan pihak lawan tidak boleh dipandang mudah sama sekali,” katanya.

Beliau berkata, sesi latihan terakhir itu lebih tertumpu kepada usaha mempertajamkan jentera serangan yang sebelum ini dikatakan agak tumpul semasa perlawanan lalu.

“Saya harap kali ini mereka menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin serta mampu menyudahkan strategi serangan untuk mencipta beberapa gol malam ini,” katanya.

Menurut Mohd Yusri, beliau menghadapi kesukaran menetapkan kesebelasan utama berikutan jurang kebolehan pemain masing-masing tidak terlalu besar.

“Setiap pemain mempunyai kemahiran masing-masing dan mereka sentiasa bersedia memikul tanggungjawab yang diamanahkan pihak pengurusan.

“Walau siapa yang akan diturunkan, saya percaya kita mempunyai kelebihan untuk mencipta kemenangan kali keempat dengan beraksi di tempat sendiri ditambah sokongan padu penyokong negeri ini,” katanya.

Kelantan kini berada di tangga ketiga carta Kumpulan A di belakang SSBJ, sementara Sabah terus gah mengungguli carta dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu keputusan seri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...