Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, March 4, 2011

Kelantan, Johor FC intai peluang (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Andai prestasi semasa menjadi ukuran, Kelantan seharusnya tidak berdepan masalah untuk melangkah ke saingan suku akhir Kejohanan Piala FA musim ini, namun lawan yang menanti, Johor FC pastinya tidak sesekali memberi laluan mudah kepada Kelantan apabila kedua-dua pasukan turun berentap dalam perlawanan malam ini.

Dalam format perlawanan pusingan kedua kalah mati ini, apa-apa pun boleh berlaku. Setiap pasukan tidak boleh mendabik dada mengatakan pasukan mereka boleh melangkah mudah ke pusingan seterusnya.

Buktinya, dalam perlawanan pertama lalu, Kelantan diheret oleh T-Team beraksi dalam masa tambahan setelah kedudukan terikat seri 1-1 sebelum penentuan sepakan penalti memihak kepada Kelantan dengan keputusan 6-5.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, perlawanan menentang Johor FC merupakan satu lagi perlawanan yang begitu sukar dihadapi pasukannya dan beliau menganggap kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang untuk mencipta kemenangan.

“Saya tidak memandang mudah pertemuan dengan Johor FC malam ini. Perlawanan ini berbeza sama sekali dengan perlawanan liga, kita berada dalam situasi kalah mati dan pemain harus bersedia dengan kekuatan mental dan fizikal sekiranya berlanjutan ke masa tambahan ataupun penentuan sepakan penalti.

“Kita ke Johor Bahru dengan satu matlamat iaitu mencipta kemenangan. Sekiranya pemain membawa karakter iaitu bermain untuk menang serta mempunyai kekuatan mental ke arah tersebut, saya percaya pasukan kita mampu melangkah ke pusingan suku akhir.

“Namun, saya tetap mengingatkan pemain saya, dalam perlawanan bola sepak apa-apa pun terjadi. Sebagai contohnya, ketika perlawanan Liga Super yang lalu kita menang 4-1 ke atas Johor FC namun kita perlu ingat mereka terlebih dahulu menjaringkan gol dalam perlawanan itu,” katanya, semalam.

Karathu berkata, sekali pun pasukannya bertandang ke gelanggang lawan tanpa kelibat penyerang, Muhammad Ramzul Zahini Adenan yang mengalami kecederaan namun beliau percaya itu tidak menjejaskan persiapan pasukannya bagi menghadapi perlawanan malam ini.

“Kita akan turun beraksi seperti biasa, mungkin dengan formasi 4-5-1 dengan Norshahrul Idlan (Talaha) seperti biasa diberi tugas sebagai penggempur. Danial Fadzly (Abdullah) dan S Chanturu pula berperanan sebagai pembantu kepada dia.

“Apa yang penting, pemain harus memberi sepenuh perhatian sepanjang tempoh 90 minit masa perlawanan. Sudah pasti kita akan bermain berhati-hati kerana Johor FC tidak mahu kecundang lagi setelah mereka tewas 0-3 kepada Terengganu dalam saingan Liga Super baru-baru ini,” katanya.

Dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA, Kelantan menyingkirkan T-Team menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 setelah kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 sehingga masa tambahan. Sementara itu, Johor FC di bawah kendalian Mohd Azuan Zain tidak menghadapi masalah menewaskan pasukan yang beraksi dalam Liga Piala FAM, SPA FC dengan kemenangan 5-0.

Lawan yang menanti antara pemenang pertemuan Johor FC menentang Kelantan malam ini di pusingan suku akhir ialah sama ada KL Felda United FC atau Kedah yang turut membuat perhitungan yang sama pada perlawanan malam ini.



Barisan kemungkinan Kelantan:

Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, S Subramaniam, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Mohd Nurul Azwan Roya, Danial Fadzly Abdullah, S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena