Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, February 21, 2011

'Saya tidak tergugat' (Harian Metro Online)

PENGENDALI skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee tidak berasakan kedudukannya tergugat walaupun mengakui jurulatih skuad kebangsaan, K Rajagobal tampil membantunya dalam mempersiapkan barisan pemain menghadapi ujian penuh getir menentang Pakistan bagi perlawanan pertama pusingan kelayakan Sukan Olimpik London 2012 Rabu ini.

Kim Swee berkata, biarpun mendapatkan pandangan daripada Rajagobal, itu tidak bermakna beliau sudah kehilangan kuasa dalam membuat keputusan ke atas pasukannya.

“Tidak timbul isu Rajagobal ambil alih, saya dan Rajagobal duduk sebumbung (di FAM), kami saling berbincang dan bertukar pandangan antara satu sama lain tapi sebarang keputusan masih di tangan saya.

“Saya meminta pandangan daripada Rajagobal kerana beliau lebih mengenali dua-tiga pemain dalam skuad saya. Saya bukan saja harus mengenali pemain di dalam padang malah di luar padang juga dan Rajagobal cukup mengenali beberapa pemain ini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pernah menyatakan bahawa khidmat Rajagobal mungkin akan dipertimbangkan bagi mengendalikan skuad muda negara secara langsung namun untuk tugasan di Sukan Sea Palembang November depan.

Bagaimanapun keputusan mengenai cadangan itu dijangka akan diketahui selepas FAM mengadakan mesyuarat Exco Rabu ini.

Sementara itu, Kim Swee lega dengan prestasi terkini anak buahnya menjelang pertemuan dengan Pakistan terutama jentera serangannya yang kembali bernyawa selepas mencatat kemenangan 4-0 ke atas skuad Liga Perdana SDM Navy dalam aksi Piala FA Jumaat lalu.

“Saya menurunkan pemain yang pertama kali beraksi walaupun itu adalah perlawanan Piala FA, tapi keputusan itu satu tanda positif. Pemain-pemain ini membuktikan mereka mampu mengisi mana-mana slot jika pemain utama mengalami kecederaan.

“Semua pemain beraksi dengan baik tapi bagi saya, yang paling menonjol adalah Mohammad Amer Saidin, Mohd Ferris Daniel dan K Ravindran yang menjaringkan dua gol. Selain itu saya juga mahu memuji permainan Muhammad Syahid (Zaidon) yang kembali beraksi selepas berehat selama 10 bulan akibat kecederaan lutut.

“Ini perkembangan positif apabila semua pemain menunjukkan kesungguhan untuk merebut tempat dalam skuad Olimpik. Bagaimanapun saya hanya akan menyenaraikan 18 pemain akhir bagi perlawanan menentang Pakistan,” katanya.

Bagi aksi pertama kelayakan Olimpik di Stadium Shah Alam, Kim Swee menyenaraikan 25 pemain bagi mengikuti latihan pusat termasuk penjaga gol senior, Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), penyerang Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Ahmad Shakir Ali dan Mohd Faizal Abu Bakar (Kedah) serta dua pemain Harimau Muda B, Muhammad Nazmi Faiz dan D Saarvindran.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...