Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, February 8, 2011

'Saya hilang rakan' (Metro Online)

“SECARA peribadi, saya hilang seorang rakan dan saya pasti semua pemain Selangor akan terasa ketiadaannya selepas ini. Sesungguhnya kami kehilangan seorang penyerang berbakat dan sukar untuk dicari ganti. Apapun, saya doakan supaya dia berjaya menjalani kehidupan baru di Indonesia,” kata kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah.

Semalam, pejabat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di Kelana Jaya diserbu puluhan wartawan termasuk wartawan Indonesia - satu senario yang agak sukar untuk dilihat hatta sidang akhbar membabitkan pasukan skuad kebangsaan sekalipun.


Semuanya datang untuk mendengar dan mendapat kepastian mengenai hala tuju Mohd Safee Sali dan secara sahnya, FAS mengumumkan penyerang itu bakal berpindah ke Pelita Jaya FC, sebuah kelab berpangkalan di Karawang, Jawa Barat.

Aksi menentang Kuala Lumpur pada saingan Liga Super, 12 Februari ini adalah perlawanan terakhir Safee bersama Selangor kerana dua hari selepas itu, penyerang berusia 27 tahun itu akan berlepas ke Indonesia dan dia bakal membuat penampilan pertama bersama kelab itu selewat-lewatnya Mac ini.


Amri sedar ketiadaan Safee bakal mengundang sedikit masalah kepada jentera serangan Selangor tetapi dia faham dan akur dengan keputusan diambil rakannya itu.


“Memang terjejas. Saya tidak boleh nafikan jentera serangan Selangor sedikit terjejas dengan ketiadaan Safee tetapi saya yakin jurulatih (K Devan) mempunyai perancangan tersendiri untuk menampung ketiadaan Safee. Saya gembira bagi pihaknya dan kami menghormati keputusannya untuk berpindah,” kata Amri.

Devan juga berkongsi rasa yang sama dengan Amri dan mengakui Safee pergi di saat Selangor mula bangkit selepas tewas di tangan Kelantan pada perlawanan Piala Sumbangsih dan pemergiannya pasti meninggalkan kesan terhadap kelancaran jentera serangan skuad Gergasi Merah itu.


“Kami mempunyai beberapa penyerang seperti Amri, Fadli Shaari, Amirulhadi Zainal, Sritharan dan Rudie Ramli. Saya terpaksa memikirkan gandingan mana yang terbaik untuk menggantikan tempat Safee. Sedikit sebanyak, pemergian Safee bakal menjejaskan rentak tetapi kami mempunyai pemain yang boleh diharapkan untuk menggantikan tempatnya.

“Saya akan menggilirkan penyerang yang ada demi memperoleh gandingan terbaik dan proses itu terpaksa bermula serta merta. Secara tidak langsung, ini peluang terbaik semua pemain untuk membuktikan kemampuan,” kata Devan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena