Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, February 7, 2011

Ketepi bulan madu (Metro Online)

Oleh Azizan Hashim

PENYERANG Perak, Muhammad Shafiq Jamal yang baru berkahwin mengetepikan soal berbulan madu kerana ingin mencurahkan kudrat kepada pasukan Seladang dalam kancah Liga Super 2011.

Justeru, pemain itu memendekkan cutinya dan bergegas pulang ke Ipoh selepas selesai kenduri perkahwinannya dengan Norma Abd Razak di Jitra, semalam.


“Saya terpaksa lupakan dulu soal berbulan madu kerana ingin berada bersama rakan sepasukan membuat persiapan bagi menentang Negeri Sembilan, Sabtu ini.

“Perlawanan ini penting untuk Perak dan saya tidak mahu terlepas beraksi pertemuan dengan pendahulu liga,” katanya.


Shafiq, 24, menjaringkan gol pertama Perak dalam kancah bola sepak Liga Super 2011 ketika pasukan Kejor Yob Kejor itu seri 1-1 dengan Kuala Lumpur di Cheras.


Bagaimanapun, pemain kelahiran Kedah itu yang mengikut jejak langkah Shahrulnizam Mustapa pulang ke Perak musim ini nyata kurang bernasib baik apabila gagal melakukan penyudah baik ketika Seladang bertemu Johor FC di Ipoh pada 1 Februari lalu.

Shafiq seperti tidak percaya apabila melihat percubaannya tersasar selain satu percubaan singgah di palang gol untuk menghalang kejayaan tuan rumah.


“Memang tak ada nasib. Saya sudah mencuba bersungguh-sungguh tetapi apakan daya bola tidak mahu masuk gol. Mujur akhirnya kami menang juga,” katanya.

Sehubungan itu Shafiq berharap dapat meningkatkan ketajamannya agar dapat membantu kejayaan Seladang apabila turun bertemu Negeri Sembilan, Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...