Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, February 21, 2011

Jang sasar bangkit (Harian Metro Online)

Hairuddin Omar

PENYERANG utama Negeri Sembilan, Hairuddin Omar (gambar) berharap pertemuan pasukan itu dengan Sabah pada saingan Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini bakal menamatkan kemarau gol dalam empat perlawanan lalu, sekali gus membantu kebangkitan pasukan itu selepas tewas dalam dua perlawanan sebelum ini.

Bekas penyerang Kelantan berusia 31 tahun itu menyedari peranan yang perlu dipikulnya selaku penyerang utama skuad Hoben Jang Hoben, namun mengakui setakat ini misinya untuk mencatat nama sebagai penjaring belum berhasil.

“Impian selaku pemain penyerang pastinya mencatatkan nama sebagai penjaring. Meskipun belum berhasil, saya yakin masanya akan tiba. Yang penting memastikan Negeri Sembilan mencapai kemenangan,” katanya.

Menurut Hairuddin, prestasi tidak konsisten dipamer pemain pada peringkat awal saingan Liga Super ketika ini hanyalah bersifat sementara kerana dia yakin pasukan itu bakal bangkit dengan kejayaan cemerlang selepas keserasian pemain baru dalam skuad itu semakin mantap.

Dia mengakui memerlukan sedikit masa untuk mempamerkan prestasi sebenar kerana dalam proses membentuk keserasian selepas persiapan pasukan dan momentum terjejas dengan perjalanan liga yang terhenti disebabkan sambutan perayaan Tahun Baru Cina selain pembabitan beberapa pemain dalam skuad kebangsaan.

“Walaupun situasi itu tidak memberikan kesan secara langsung, ia tetap mempengaruhi persembahan pasukan.

“Saya yakin setiap pemain menyedari tanggungjawab yang digalas dalam setiap perlawanan dan tidak menolak kami memerlukan sedikit masa untuk mempamerkan prestasi sebenar,” katanya yang pernah membantu Negeri Sembilan merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada musim 2009.

Mengenai cabaran menentang Sabah, Negeri Sembilan tiada pilihan kecuali bangkit mencatat kemenangan dan memastikan tiga mata di halaman sendiri itu tidak lagi tercicir.

Dia yang dijangka bakal menggalas tanggungjawab selaku kapten selepas Mohd Shukor Adan tidak dapat beraksi kerana mengumpul tiga kad kuning berazam untuk memberikan persembahan terbaik dan memastikan Negeri Sembilan mencatatkan kemenangan bagi mengembalikan semula reputasi pasukan yang tercalar selepas tewas kepada Perak dan Felda United.

“Kami berazam turun dengan persembahan yang lebih baik dan memastikan tiga mata,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena