Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, February 9, 2011

Bekas tonggak Kelantan kesal tak dapat bonus (Metro Online)

BAGAIKAN tidak mengenang jasa. Itulah yang dirasai empat bekas tonggak - Indra Putra Mahyudin, Nor Farhan Muhamad, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Azizi Matt Rose - apabila mereka dinafikan pemberian bonus RM7,000 seorang daripada kerajaan negeri Kelantan selepas membantu skuad Red Warriors itu menjulang Piala Malaysia tahun lalu.

Lebih menyedihkan, mereka langsung tidak dimaklumkan Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan (Kafa) mengenai pemberian ganjaran terbabit dan tidak dipanggil untuk menghadiri majlis penyerahan bonus berkenaan yang berlangsung pada 25 Januari lalu.

“Tindakan Kafa bagaikan ingin menafikan hak pemain mendapat bonus yang diberikan kerajaan Kelantan walaupun saya sudah bekerja keras membantu mereka menjulang Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah, ” kata salah seorang daripada empat pemain berkenaan yang enggan mendedahkan namanya kerana bimbang disalah tafsir pengurusan Kafa.

Katanya, selepas berhempas-pulas membantu Kelantan sebelum menjulang Piala Malaysia tahun lalu, pengurusan Kafa bagaikan tidak mengenang jasa kerana tidak memberikan bonus pemberian kerajaan negeri yang sepatutnya mereka terima.

“Sudahlah bonus kemenangan menjulang Piala Malaysia tidak dapat, bonus kerajaan negeri Kelantan pun dinafikan pengurusan Kafa. Lebih aneh hanya kami berempat saja tidak diberi bonus manakala pemain lain yang bersama skuad Kelantan musim lalu mendapat bonus itu. “Apa salah saya sehingga pengurusan Kafa langsung tidak menghubungi dan tidak memberikan kami bonus berkenaan walaupun pada awalnya pihak pengurusan menyatakan akan memberi kepada semua pemain termasuk kami berempat,” kata pemain itu ketika menghubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Indra Putra, Nor Farhan dan Azizi mencetuskan kontroversi apabila tidak mahu menyambung kontrak bersama Kelantan musim ini dan memilih skuad T-Team, manakala Akhmal Rizal menyarung jersi Perak. Berikutan itu, pengurusan Kafa yang sudah merancang strategi dalam kempen Liga M musim ini sedikit terganggu selepas pemain berkenaan bertindak meninggalkan skuad berkenaan dan menyertai skuad lain.

Sementara itu, seorang lagi rakannya yang turut enggan mendedahkan namanya, berkata sebelum ini dia mengambil sikap berdiam diri kerana tidak mahu memburukkan keadaan selain menjaga nama baik persatuan itu. “Bagaimanapun dengan pendirian Kafa yang seolah-olah bersikap berdiam diri dan lepas tangan walaupun sudah dihubungi menyebabkan kami berempat terasa teraniaya dan tampil untuk menuntut hak sebagai pemain.

“Sebelum ini, saya sudah berbincang dengan tiga lagi rakan mengenai bonus berkenaan dan bertindak tunggu dan lihat perkembangan seterusnya, namun selepas dua minggu berlalu, kami langsung tidak dihubungi Kafa, menyebabkan kami tertekan.

“Saya berharap, pihak Kafa memikirkan semula pemberian bonus kepada kami, sama seperti pemain lain selepas kami membantu menjulang Piala Malaysia musim lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...