Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 2, 2011

Wira Piala AFF dari Terengganu terima habuan (Berita Harian Online)

Oleh Faizul Azlan Razak
bhsukan@bharian.com.my
2011/01/02

ENAM pemain bola sepak kelahiran Terengganu yang mewakili membantu skuad Harimau Malaya menjulang Piala AFF Suzuki 29 Disember lalu, menerima durian runtuh apabila kerajaan negeri mengumumkan setiap seorang akan menerima ganjaran RM5,000 dan sebidang lot tanah untuk tapak rumah.

Mereka yang menerima imbuhan itu adalah pemain Terengganu Mohamad Ashari Samsuddin dan Mohd Sarbinee Allawee Ramli, Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan) dan tiga pemain Harimau Muda A, Mohd Muslim Ahmad, Izzaq Faris Ramlan dan Mohd Faizal Muhammad.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata imbuhan daripada kerajaan negeri itu adalah sebagai penghargaan kepada mereka selepas membantu negara menjulang Piala AFF Suzuki buat kali pertama dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Saya sangat terharu dan bangga apabila mendapat tahu enam anak kelahiran negeri ini berada dalam pasukan Malaysia yang membantu menamatkan penantian 14 tahun negara menjulang piala itu,” katanya ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) daripada percutian, semalam.

Katanya, imbuhan yang diberikan diharap menjadi suntikan semangat kepada bakat muda negeri ini untuk terus memberikan persembahan yang terbaik, seterusnya mewakili negara pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan negeri akan mengenal pasti lot tanah yang akan diberikan kerana pembahagian akan dibuat mengikut daerah tempat tinggal dan mengikut kesesuaian.

Malaysia muncul juara buat julung kalinya selepas menewaskan Indonesia 4-2 secara agregat dalam perlawanan akhir timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Sabtu lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat, berkata pengumuman imbuhan Menteri Besar itu membuktikan kerajaan negeri menghargai pemain yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Walaupun hanya dua pemain menabur bakti bersama pasukan negeri dalam Liga Super, perkara itu tidak menjadi isu kerana mereka adalah anak kelahiran Terengganu, cuma terikat dengan pasukan masing-masing iaitu Kelantan dan Harimau Muda A.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena