Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 13, 2011

Wajah baru Selangor (Kosmo Online)


BARISAN pemain Selangor giat menjalani latihan di Padang SUK, Shah Alam semalam.


JUARA bertahan, Selangor tampil dengan wajah baru bagi menghadapi saingan Liga Super 2011 yang akan bermula 29 Januari ini.

Selepas pulang dari latihan pra musim selama seminggu di Perth, Australia Ahad lalu, skuad Selangor kembali turun menjalani latihan seperti biasa di Padang SUK, Shah Alam petang semalam.

Mereka kini tampil dengan kelengkapan latihan dan jersi tajaan jenama sukan, Kappa untuk menggantikan Adidas yang menaja skuad Selangor selama enam musim dari 2005 hingga 2010.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, majlis memperkenalkan pemain baru Selangor 2011 serta jersi baru pasukan berjenama Kappa itu akan diada- kan di Stadium Shah Alam, Selasa depan.

"Selepas kembali dari Australia, pemain-pemain mula berlatih petang ini (semalam) dan kita akan mengadakan persiapan terakhir menjelang sepak mula bertemu Kelantan pada 29 Januari nanti.

"Latihan kini kembali lengkap setelah enam pemain kebangsaan (Safee Sali, Amri Yahyah, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, Asraruddin Putra Omar dan Razman Roslan) sudah bersama pasukan," kata Hamidin kepada Kosmo! semalam.

Dua minggu menjelang saingan sebenar, Selangor merancang tiga aksi persahabatan iaitu bertemu ATM (Sabtu), Sime Darby (19 Januari) dan Pulau Pinang pada 22 Januari.

Sesi latihan petang semalam menyaksikan kelibat enam pemain baru Selangor musim ini iaitu Fadzli Saari, Saiful Amar Sudar, Azidan Sarudin, Yosri Derma Raju, S. Sritharan dan K. Depan Sakwati.

Bagi Fadzli, 28, yang merupakan penyerang KL Plus musim lalu, dia tidak berasa begitu janggal dan sukar menyesuaikan diri kerana pernah menyarung jersi Selangor selama dua musim iaitu pada 2007 dan 2008.

"Cuma ini pertama kali saya berlatih di bawah kendalian jurulatih K. Devan. Tetapi tiada banyak masalah sangat dan saya perlu menunjukkan komitmen bagi merebut tempat dalam kesebelasan," kata Fadzli selepas latihan semalam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena