Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, January 5, 2011

Perjuangan skuad Harimau Malaya masih panjang, belum selesai (Berita Harian Online)

Oleh Markus Lim

2011/01/04

KEJAYAAN pasukan bola sepak negara Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF di depan lebih 90,000 penonton Indonesia di Jakarta baru-baru ini adalah sesuatu yang cukup manis dan barangkali akan terpahat dalam sanubari rakyat untuk tempoh lama.

Apa tidaknya, pemandangan sedemikian jarang sekali kelihatan dalam tempoh dua dekad ini. Detik manis inilah yang amat dinanti-nantikan peminat sukan tanah air.
Sepanjang tempoh dua dekad yang dipenuhi dengan kesuraman yang tidak berkesudahan, bola sepak negara sudah mengharungi pelbagai suka-duka dan zaman kemalapan yang hampir mematahkan semangat bukan saja peminat bola tetapi juga pemain sendiri.
Imej pasukan bola sepak negara bukan saja berada di persimpangan kerana persembahan hambar mereka malah sering menjadi bualan kalangan peminat tanah air.

Tetapi selepas dua kejayaan cemerlang berturut-turut yang menyaksikan pasukan kebangsaan kita dinobatkan sebagai juara Sukan SEA di Vietnam dan terbaru, Piala Suzuki AFF– nampaknya keyakinan yang menghilang selama ini, kini sudah mula kembali.

Barangkali jika Allahyarham Mokhtar Dahari dan pemain seangkatan yang masih hidup hingga ke hari ini, mereka sudah pasti berasa gembira di atas pencapaian anak buah K Rajagobal.

Tidak ada salahnya untuk keyakinan berkenaan ditonjolkan atau diuar-uarkan. Ini kerana, keyakinan adalah senjata utama yang paling ampuh dalam mencetuskan momentum.
Melalui keyakinan jugalah, ia mampu membawa kita jauh ke hadapan.

Kerana keyakinan yang tinggi, apa yang dilihat tidak mungkin sebelum ini, kini menjadi kenyataan. Dan inilah yang sudah berjaya ditunjukkan oleh pasukan kebangsaan negara.

Apapun, usahlah membiarkan kejayaan serta keyakinan yang melambung tinggi melalaikan kita. Kejayaan Piala Suzuki AFF harus diraikan tetapi secara sederhana.

Pasukan bola sepak kebangsaan harus berpijak pada bumi nyata. Mereka perlu menyedari bahawa kejayaan yang dikecapi ini hanyalah satu langkah kanan signifikan ke arah mengembalikan era kegemilangan bola sepak negara.

Sesungguhnya, perjuangan itu masih panjang dan belum selesai. Pasukan kebangsaan kita sudah pun bergelar sebagai juara di Sukan SEA dan Piala Suzuki AFF tetapi itu tidak bermakna kecemerlangan tersebut harus berhenti di situ.

Sebaliknya, kecemerlangan berkenaan harus diteruskan dan pasukan bola sepak negara harus mengambil kesempatan ini untuk terus memperbaiki prestasi mereka.

Bergelar sebagai juara ASEAN adalah satu permulaan baik tetapi berbekalkan keyakinan yang dimiliki, tidak mustahil satu hari nanti pasukan kebangsaan negara mampu menggegarkan rantau Asia biarpun ada antara peminat yang mungkin berasa sinis di atas keyakinan itu.

Yang pastinya, segala-galanya adalah berkemungkinan. Jika Jepun dan Korea Selatan satu ketika dulu bukan saingan kepada pasukan bola sepak negara ketika era Allahyarham Mokhtar Dahari tetapi mampu melangkah jauh seperti yang kita lihat sekarang, maka skuad Harimau Malaya boleh juga berbuat begitu.

Kuncinya terletak pada disiplin pemain dan kemampuan skuad Harimau Malaya untuk mempamerkan persembahan konsisten sepanjang masa.

Jangan ulangi kesilapan masa lalu dengan berasa senang hati dengan kejayaan dikecapi.

Juga, jangan terlalu ghairah mendapat publisiti hinggakan fokus utamanya tersasar.

Ibarat sebuah bidalan Inggeris yang berbunyi: Rom tidak dibina dalam sehari. Barangkali bidalan itu harus dijadikan sebagai peringatan bahawa usaha untuk memusnahkan segala kejayaan yang dikecapi oleh skuad Harimau Malaya sekarang boleh hilang dalam sekelip mata, tetapi untuk membina asas, kekuatan dan keyakinan ini memakan masa cukup lama.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...