Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 2, 2011

Norshahrul belum puas (Harian Metro Online)

Oleh SAIFUL AFFENDY SAPRAN
saifulaffendy@hmetro.com.my

pix_middle

NAMA Norshahrul Idlan Talaha (gambar) kini meniti di bibir setiap peminat bola sepak kebangsaan selepas penyerang berbisa itu membantu skuad negara melakar kejayaan paling gemilang dalam bola sepak moden dengan menjulang Piala AFF buat kali pertama sekali gus mengesahkan status 'Harimau Malaya' sebagai raja bola sepak rantau Asia Tenggara.

Bukan sedikit sumbangan Norshahrul sepanjang kejohanan itu malah tidak keterlaluan mengatakan dia watak pemusnah utama mengecewakan pihak lawan terutama Indonesia pada perlawanan akhir yang berlangsung secara timbal balik. Ikut temubual bersama anak muda berusia 24 tahun ini.


SOALAN: Tahniah, ceritakan serba sedikit mengenai makna kejayaan ini kepada anda.
JAWAPAN: Pertamanya saya ingin berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sokongan amat luar biasa kepada kami sepanjang kejohanan ini. Terima kasih juga kepada kaum keluarga yang banyak memberi dorongan dan sokongan kepada saya.

S: Di mana sebenarnya titik kebangkitan skuad kebangsaan selepas bermula agak goyah apabila dibelasah Indonesia pada perlawanan pertama?

J: Memanglah pada perlawanan pertama kami agak kecewa apabila kalah besar tetapi selepas itu kami dapat keyakinan semula selepas seri ketika menentang Thailand.
Keyakinan kami bertambah kuat apabila berjaya menewaskan Vietnam sekali gus melangkah ke pentas final sedangkan sasaran awal hanyalah ke separuh akhir.


S: Difahamkan selepas aksi cemerlang di Piala AFF, anda ada menerima tawaran daripada kelab luar untuk beraksi bersama mereka.
J: Benar, saya mendapat dua tawaran untuk beraksi di Indonesia. Pertama daripada kelab Sriwijaya FC di mana ejen kelab berkenaan ada menemui saya menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat saya. Kedua, sebuah kelab yang saya pun masih tidak pasti lagi iaitu dari Jawa Tengah.


S: Jika benar mereka serius mahu mendapatkan khidmat anda, bersediakah anda untuk keluar dari negara ini dan beraksi di Indonesia?
J: Ya, sudah pasti saya tidak akan melepaskan peluang ini. Saya bersedia untuk beraksi di luar negara kerana ia pasti akan memberi pengalaman berharga untuk saya.


S: Meskipun mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan ini, anda tidak terpilih menerima anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP). Komen anda?
J: Saya memang rasa amat kecewa sebab tidak berjaya memenangi anugerah ini. Apapun, saya sudah melakukan yang terbaik dan bekerja keras untuk pasukan. Apa yang lebih penting ialah dapat membantu pasukan menjuarai Piala AFF buat kali pertama.


S: Anda berjaya meraih pingat emas Sukan Sea, Piala Malaysia bersama Kelantan dan kini Piala AFF. Adakah pencapaian ini sudah mencukupi bagi anda?
J: Tidak, masih banyak lagi yang ingin saya kecapi bersama skuad kebangsaan. Tahun 2009 dan tahun lalu sememangnya amat bermakna bagi saya kerana berjaya membantu pasukan kebangsaan memenangi beberapa kejuaraan utama. Malah kemenangan terbaru ini juga amat bermakna bagi saya kerana boleh dikatakan ia adalah hadiah paling berharga sempena perkahwinan saya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena